Minyak masak mahal, Dr Fatimah kongsi kebaikan guna air fryer
MINYAK masak mahal! Harga minyak masak sawit botol di pasaran ketika ini semakin mahal sehingga membebankan pengguna.
Iya, bermula 1 Jun lalu, harga minyak masak botol pelbagai jenama seberat 5 kilogram (kg) dijual antara RM28.60 hingga RM43.50.
Walaupun minyak tulen bagi pek polibeg 1 kg masih kekal pada harga RM2.50, namun sana-sini orang ramai mengatakan minyak tersebut sentiasa tiada stok di pasaran.
Memandangkan harga minyak masak telah meningkat lebih daripada 43 peratus, ahli kimia, Dr Fatimah Salim menyarankan orang ramai mengurangkan penggunaan minyak masak dalam menggoreng.
Ujarnya, antara alternatif yang praktikal adalah dengan menggunakan penggoreng elektronik aka air fryer.
"Ramai yang sukakan makanan yang bergoreng disebabkan teksturnya yang ranggup dan rasanya yang sedap.
"Umum maklum yang makanan digoreng ini tinggi kandungan lemak yang mana dikaitkan (walaupun tidak konklusif) dengan penyakit terutamanya berkaitan jantung dan keradangan.
"Maka, antara inovasi yang telah dicipta bagi memenuhi keperluan yang sama namun lebih sihat (dalam konteks menggoreng bahan masakan yang sama) adalah dengan menggunakan peralatan memasak seperti air fryer," ujarnya.
Menerusi perkongsian di Facebook, Dr Fatimah menerangkan tentang kebaikan menggunakan air fryer.
"Air fryer merupakan convection oven bersaiz kecil yang direka khas untuk mendapatkan kesan menggoreng tanpa perlu menenggelamkan masakan dalam minyak mengoreng yang banyak.
"Bergantung kepada selera masing-masing, masakan hanya perlu direnjis atau diselaput nipis dengan minyak untuk mendapatkan kesan gorengan yang diinginkan. Dan ini dapat mengurangkan penggunaan minyak masak sehingga 70 hingga 80 peratus," kongsinya.
Baca juga Jauhi makanan proses, ibu mengandung tak boleh tinggal buah
Bagaimana air fryer berfungsi?
- Air fryer mempunyai kipas yang berfungsi mengitarkan udara panas pada kelajuan yang tinggi dalam ruang memasak yang disediakan.
- Udara panas yang boleh mencapai suhu setinggi 250 degree Celcius (bergantung kepada model) akan membenarkan kesan gorengan berlaku pada permukaan makanan dengan cepat dan sekata.
- Suhu yang tinggi mencetuskan tindak balas Maillard pada permukaan masakan lalu memberikan warna, bau, rasa dan tekstur masakan yang ranggup di luar dan lembab di dalam. Tindakbalas Maillard berlaku pada suhu 200 degree Celcius dalam air fryer (140-165 degree Celcius dalam proses menggoreng biasa).
- Bergantung kepada kuantiti masakan dan kawalan suhu, air fryer dapat mengurangkan masa memasak sehingga 20 peratus dibandingkan penggunaan ketuhar biasa.
- Selain daripada menggoreng, air fryer juga digunakan untuk memanggang, membakar (biskut dan kek) dan juga boleh mendapatkan hasil telur rebus tanpa menggunakan air!
- Terdapat pelbagai jenama, model dan jenis air fryer yang berada di pasaran.
- Pemilihan adalah bergantung kepada kegunaan, saiz dan kapasiti, penggunaan elektrik, reka bentuk, kualiti, jenama dan semestinya kemampuan masing-masing.
- Maka, boleh pilih yang mana bersesuaian dengan tujuan penggunaan anda.
Antara kebaikkan air fryer adalah;
- Tanpa minyak tambahan atau sangat kurang penggunaan minyak menggoreng.
- Masa memasak dapat dipendekkan.
- Pelbagai guna (mini oven).
- Mudah digunakan (digital vs analog).
- Mudah dibersihkan jika dibandingkan oven.
- Kurang berbau masakan.
- Kurang haba panas jika dibandingkan oven biasa.
- Tiada percikan minyak atau terkena minyak panas.
- Kanak-kanak juga boleh menggunakannya dengan mudah apabila dilatih dengan betul.
Adakah memasak dengan air fryer adalah lebih sihat jika dibandingan dengan kaedah memasak yang lain?
- Bergantung kepada jenis masakan dan bahan masakan. Sememangnya memanggang dan membakar adalah lebih sihat hasil masakannya daripada menggoreng. Dan masakan daripada bahan terproses seperti sosej, nugget, daging burger dan sebagainya juga tidak sihat jika dibandingkan dengan bahan segar seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya.
- Ingat, air fryer ialah peralatan memasak. Bukannya ‘magic pan’ yang boleh mengubah komposisi masakan!
Baca juga #SiBibirMerah: Kotak telur kena caj 30 sen, apa lagi selepas ini...
Benarkah memasak dengan air fryer boleh menghasilkan bahan kimia punca kanser?
- Bergantung kepada suhu dan bahan masakan. Suhu dalam air fryer yang tinggi mampu menghasilkan bahan kimia punca kanser (kasinogen) seperti acrylamide, polycyclic aromatic hydrocarbons dan heterocyclic amines.
- Namun bahan-bahan kimia ini BUKAN dihasilkan dalam air fryer saja. Mereka juga terhasil daripada proses memasak dengan kaedah menggoreng, memanggang dan membakar tradisional juga.
- Contoh acrylamide terhasil daripada tindakbalas komponen dalam masakan yang mengandungi gula (boleh jadi gula tambahan atau semulajadi) dan asid amino (asparagine dan glutamine).
- Sebenarnya pembentukan bahan kimia punca kanser dalam masakan tidak dapat dielakkan sepenuhnya, namun ianya boleh dikurangkan dengan MENGAWAL suhu memasak dalam air fryer.
- Kajian menunjukkan semakin gelap warna masakan yang dipanggang, dibakar atau digoreng, semakin tinggi kandungan bahan kimia acrylamide.
- Maka, pastikan masakan sebegini masak cuma cukup-cukup saja (kekuningan) dan elakkan terlebih masak.
Seperti yang selalu Dr Fatimah pesan, bersederhanalah dalam apa juga jenis makanan yang kita ambil.
Neutralkan kesan risiko pelbagai jenis penyakit daripada pemakanan sebegini dengan pengambilan sayuran hijau yang kaya dengan fitokimia yang mana bersifat antioksida, antiradang, antikanser dan sebagainya.
Semoga bermanfaat!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang