INSIDEN pokok tumbang di ibu negara Selasa lalu yang melibatkan 17 kenderaan menggemparkan tanah air. Lebih menyedihkan apabila salah seorang daripada mangsa meninggal dunia. Seorang daripada mangsa yang terselamat, pemandu e-hailing Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, menjadi perhatian ramai susulan perkongsian video kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di laman sosial.

Beliau ketika itu sedang dalam perjalanan menghantar penumpang ke Wisma Hong Leong, Jalan Perak, Kuala Lumpur.

“Saya pemilik kereta Bezza merah dan masih hidup. Alhamdulilah, syukur Ya ALLAH.

“Saya reda dan pasrah. Walaupun itu satu-satunya kereta untuk saya mencari rezeki buat keluarga.

“Kalau difikirkan secara logik, dengan keadaan kereta sebegitu, mungkin saya sudah berada di ‘alam’ lain. Terima kasih ALLAH atas bahasa cinta-MU,” katanya.

Baca juga: Air mata iringi pengebumian mangsa pokok tumbang, anak-anak & keluarga hiba dan sayu

Baca juga: Adik mangsa pokok tumbang dedah abang sangat ambil berat, jaga bapa sakit. ‘Semua orang cuba call, rupanya telefon sudah pecah’

Turut berkongsi keadaan kereta miliknya iaitu Perodua Bezza yang remuk di laman sosial TikTok, warga maya meluahkan tidak menyangka pemuda itu masih bernyawa.

Akibat kejadian itu, Abdul Hayyi mengalami kecederaan pada bahagian kepala, dada dan lengan serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Ramai yang bertanya, macam mana kereta teruk tetapi tuan badan biasa sahaja. Macam tak logik. Anggota polis pun tanya apa amalan encik ?

“Satu kejadian dengan dua nasib keadaan berbeza. Ada yang mati, ada yang hidup. Alhamdulilah, dipilih ALLAH untuk diselamatkan.

“Syukur sangat-sangat. Salam takziah kepada ahli keluarga yang meninggal dunia,” katanya.

Baca juga: Hujan lebat di Kuala Lumpur, pokok besar tumbang ragut satu nyawa, seorang cedera. 5 info perlu tahu

Abdul Hayyi selepas kejadian

Menjawab pertanyaan tentang amalan, Abdul Hayyi memaklumkan salah satunya ialah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang menjadi rutin sejak tiga tahun lalu.

“Sebenarnya, tiada apa apa amalan khas yang di amalkan oleh saya. Cuma, saya lazimkan berselawat paling kurang 1,000 sehari. Sudah hampir tiga tahun saya amalkan. Itu sahaja.

“Banyak juga perkara dimudahkan sepanjang beramal selawat. Sahabat boleh cuba amalkan. Dan lihatlah sendiri dengan izin-NYA. Memang ajaib,” katanya.

Selain itu, beliau berkongsi tentang amalan memberi. Katanya, sebelum kemalangan berlaku beliau baharu sahaja menunaikan solat Zohor di masjid.

“Saya ada sedekah juga di masjid dan bermunajat kepada ALLAH untuk keselamatan dan dipermudahkan mencari rezeki,” kongsi Abdul Hayyi.

Kehilangan sebuah kereta yang menjadi punca pendapatan, Abdul Hayyi yang baru mendirikan rumah yangga sebulan lalu reda dengan ujian menimpanya.

“Terima kasih atas doa semua. Doakan ALLAH hadiahkan kereta baharu. Kereta total lost,” titipnya.

Dalam pada itu, Abdul Hayyi sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga, rakan dan orang ramai yang mendoakan kesejahteraan beliau.

“Terima kasih atas doa kenalan tercinta semua. Semoga ALLAH membalas kebaikan kalian semua di dunia dan akhirat berkat Rasulullah SAW.

“Firman ALLAH: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Surah al-Talaq (3),” kongsinya.

Iklan

Warga maya meluahkan rasa terharu dan terkejut menyaksikan keadaan kenderaan milik Abdul Hayyi.

Malah ramai yang sebak sebaik menyaksikan beliau menyebut kalimah syahadah ketika kereta dihempap pokok yang tumbang.

Menerusi perkongsian rakaman video dashcam berdurasi 1 minit 18 saat yang dimuat naik di laman sosial itu, warganet tidak henti mendoakan agar beliau sembuh dan dimurahkan rezeki.

Ujar mereka:

“Meremang ketiba abang mengucap,” kata Galeri Mulia.

“Ya ALLAH sebaknya dengar suara abang mengucap,” kongsi Pistachio.Es.

“Impian semua orang Islam apabila dalam apa juga situasi untuk menyebut dua kalimah ini,” ujar Ellyra.

Iklan

“Ya ALLAH bergetar badan mendengarnya laungan kalimah ALLAH. Semoga ALLAH melindungi keluarga abang ini,” kongsi Hanya Saya.

Terdahulu, media melaporkan Abdul Hayyi layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kerana beliau merupakan pencarum PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Difahamkan, ketika itu beliau sedang berehat di rumah ibu saudaranya di Putrajaya.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata pencarum PERKESO yang aktif dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara iaitu cuti sakit dengan kadar RM41.33 sehari termasuk permohonan tuntutan faedah perubatan serta rawatan rehabilitasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!