PLUS bantu rancang perjalanan ikut jadual bagi yang ingin pulang ke kampung
PASTI hari ini dan esok ada yang merancang untuk pulang ke kampung sempena menyambut Hari Raya Aidiladha. Betul tak?
Sehubungan itu, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) hari ini telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk saranan waktu yang sesuai buat mereka yang ingin memulakan perjalanan di lebuh raya sempena sambutan Aidiladha.
PLUS dalam kenyataannya hari ini menyarankan pelanggan lebuh raya dari Kuala Lumpur atau Selangor yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuh raya lebih awal, sebelum jam 10 pagi.
“Pelanggan yang menuju ke lain-lain negeri pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas 2 petang bermula hari ini sehingga 30 Julai.
“Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang, jadual TTA menyarankan agar semua pelanggan lebuh raya daripada semua negeri memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi, antara 1 hingga 3 Ogos ini,” menurut kenyataan itu.
PLUS juga akan menutup lorong tambah nilai di plaza tol untuk mengurangkan intervensi terus transaksi tunai dalam kalangan kakitangan PLUS dan pelanggan lebuh raya bagi membendung penularan Covid-19.
Oleh itu, pelanggan lebuh raya diminta memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi dengan menambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri (SSK), kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara sebelum memasuki lebuh raya.
Sementara itu, pelanggan lebuh raya juga disaran menggunakan perkhidmatan prapesanan makanan yang terdapat di 16 kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih bagi menjaga penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai di tempat umum.
PLUS turut menghentikan sementara kerja penyelenggaraan dan naik taraf lebuh raya bermula hari ini hingga 3 Ogos serta menyediakan kren dan trak tunda di 14 lokasi strategik bagi mempercepatkan kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya.
PLUS juga menempatkan kira-kira 3,500 kakitangan di dalam ekosistem lebuh raya PLUS untuk membantu semua pelanggannya menikmati perjalanan yang lancar pada musim perayaan kali ini.
Semoga bermanfaat!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang