Bella Park dedah sisi penyayang Haikal terhadap Nenel, sanggup urus anak tiri ketika sakit – ‘Cebok dan mandikan pun Dada buat’

A
A
A

MELIHAT anak sendiri selesa dengan insan yang hadir dalam kehidupannya selepas perkahwinan semula pastinya memberikan kebahagiaan tersendiri buat seorang ibu.

Itulah yang dirasai personaliti media sosial, Bella Park apabila melihat hubungan suaminya, Haikal Anuar dengan anak sulungnya, Muhammad Danial Nazran atau lebih mesra disapa Nenel semakin rapat.

Walaupun Haikal bukan bapa kandung Nenel, tanggungjawab dan perhatian yang diberikan lelaki itu jelas memperlihatkan kesungguhannya untuk menjadi sebahagian penting dalam kehidupan anak berkenaan.

Bella berkongsi satu pengalaman yang cukup diingati apabila Nenel mengalami kecederaan selepas terjatuh sehingga menyebabkan tulang kakinya retak.

Bukan anak kandung

Dalam keadaan anaknya memerlukan perhatian dan bantuan untuk bergerak, Haikal tidak teragak-agak pulang bagi memastikan Nenel mendapat penjagaan sewajarnya.

“Masa ini anak saya jatuh dan kaki dia retak. Dada (panggilan Nenel kepada Haikal) terus balik, nasib baik kebetulan cuti.

“Dada yang jaga, dukung ke sana sini. Walaupun bukan anak kandung, tetapi cebok dan mandikan pun Dada dia buat,” kongsi Bella menerusi Threads.

Pengalaman itu bukan sekadar memperlihatkan kesediaan Haikal menguruskan keperluan Nenel ketika sakit, malah menggambarkan hubungan mereka yang semakin akrab.

Bagi Bella, perhatian suaminya juga dapat dilihat menerusi sokongan terhadap aktiviti dan pencapaian anaknya.

Terbaharu Nenel menyertai persembahan piano bersama rakan-rakannya di sebuah hotel. Menariknya, Haikal turut pulang semata-mata mahu menyaksikan persembahan tersebut.

"Tahniah Anak Mom dan Dada, persembahan piano pertama Nenel

"Mom dan Dada bangga sangat. Banyak perubahan Nenel berbanding dengan dulu, Syukur Ya ALLAH," ungkap Bella dalam oerkongsian terbaharunya.

Kanak- kanak autisme

Bagi sesetengah kanak-kanak, berdiri di hadapan khalayak mungkin perkara biasa. Namun, bagi Nenel, keberanian untuk menyertai persembahan bersama rakan-rakan merupakan satu perkembangan yang cukup bermakna.

Bella turut menjelaskan bahawa anaknya merupakan kanak-kanak autisme yang mempunyai kesukaran untuk mempercayai orang lain.

“Untuk yang tak tahu, anak saya ini kanak-kanak autisme. Dia memang susah percaya orang tetapi Dada dia orang paling dia percaya sekarang,” jelasnya.

Pengakuan itu memperlihatkan betapa besarnya tempat Haikal dalam kehidupan Nenel. Bukan sahaja menjadi individu yang membantu ketika dia memerlukan penjagaan, malah turut menjadi seseorang yang kehadirannya memberikan keyakinan.

Buat Bella, melihat anaknya mempunyai hubungan sedemikian dengan suami sendiri pastinya satu perkara yang cukup berharga. Apatah lagi apabila Haikal bukan sekadar hadir sebagai pasangan hidupnya, tetapi turut mengambil berat tentang keperluan, minat dan perkembangan Nenel.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang