LEBIH 30 tahun berada dalam bidang kewangan dan perbankan, tidak hairanlah Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dianggap ikon wanita baharu yang sedang meniti puncak industri.

Pernah menyertai Hong Leong Islamic Bank dan AmBank, Raja Teh Maimunah kini mengemudi satu lagi cabang baharu iaitu perbankan digital selaku Ketua Pegawai Eksekutif Islamik Bank Digital, AEON Konsortium.

“Apabila orang tanya saya bagaimana perjalanan sepanjang 30 tahun dalam karier, saya hanya boleh katakan jangan berputus asa, teruskan usaha kerana saya juga tiada pengalaman dalam perbankan kerana belajar bidang undang-undang.

“Saya mula serius dalam perbankan sejak kelahiran anak pertama pada 1996, dia yang memberi inspirasi untuk kerja kuat kerana sebagai ibu tunggal ketika itu, saya hanya fikirkan bagaimana untuk membesarkan dia dan berikan kehidupan selesa.

“Bagi saya setiap kejayaan dalam karier adalah pencapaian berpasukan dan yang memberi kesan apabila kami berjaya melancarkan platform perdagangan komoditi murabahah pertama di dunia iaitu Bursa Suq Al-Sila pada 2009.

“Platform berkenaan merupakan kejayaan besar bagi negara kerana menjadi yang pertama di dunia dan semua bank Islam di dunia boleh menggunakannya sebagai platform perdagangan untuk komoditi murabahah,“ kongsi Raja Teh Maimunah dalam satu temu bual khas bersama Sinar Harian.

Diajak berbicara mengenai dunia perbankan, pemegang ijazah undang-undang dari University of East London itu mengakui, usahawan muda menjadi inspirasi kepadanya untuk membangunkan bank digital itu.

“Ini kerana apabila melihat kesulitan mereka mendapatkan bantuan kewangan, mereka tetap bersemangat meneruskan perniagaan.

“Ramai antara mereka yang tiada modal, tiada kedai tetapi mempunyai idea bernas. Lihat sahaja bagaimana usahawan muda seperti Khairul Aming yang mampu meraih jualan hingga jutaan ringgit dengan menjual sambal.

“Usahawan ini bermula dengan kecil-kecilan dan apabila meningkat naik, mereka boleh buka peluang pekerjaan kepada orang lain dan produk boleh dipasarkan ke luar.

“Oleh sebab itu saya dan pasukan membina bank digital ini supaya kami boleh menyumbang kepada perkembangan usahawan.

“Di mana saya sekarang dengan kejayaan melancarkan bank digital Islamik pertama di Malaysia adalah satu daripada cabaran terbesar dalam karier tetapi saya amat berbangga dengan pasukan sebab struktur bank ini berbeza dengan bank konvensional,“ katanya.

Baca juga: Sinar Harian pilih 10 Wanita Inspirasi Malaysia

Baca juga: ‘Saya jatuh bangun banyak kali, tapi sabar pasti ada ganjarannya’ – Wawa Zainal

Iklan

– INFO

Nama: Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif Islamik Bank Digital, AEON Konsortium

Pencapaian: Pernah menjadi CEO dan Pengarah Urusan Hong Leong Islamic Bank, CEO Inovasi Digital dan Perbankan Transaksi, Kumpulan Hong Leong.

Iklan

Pernah menjadi CEO AmInvestment Bank Bhd dan Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank

Dinamakan Wanita Ikon Malaysia 2017 pada Sidang Kemuncak Anugerah Ikon Wanita

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!