JATUH sakit atau pengsan secara tiba-tiba apabila berada di dalam bangunan, butik dan penjabat sendiri, pengasas Bawal Exclusive, Haliza Masyuri memaklumkan sudah  mengalaminya sejak 20 tahun lalu.

Beliau berkata, insiden itu amat menghairankan malah pelbagai ikhtiar dan rawatan dilakukan namun masih tidak dapat dikesan punca penyakit.

“Malah saya pernah mengalami busung suatu ketika dulu. Jadi, apabila mengalami ‘sakit’ berkenaan, saya akan berehat dan berurut untuk memulihkan badan semula.

“Saya tak nak sangka buruk dengan orang tapi dalam 20 tahun itu, saya membuat pemeriksaan di hospital kerajaan dan swasta sehingga ke luar negara,” katanya kepada SinarPlus.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Radiant Raya Pavilion Swarovski x Bawal Exclusive baru-baru ini.

Tambah Haliza, sesuatu ujian yang datang merupakan tanda ALLAH sayang akan hambanya sekali gus menyedarkan dunia bukan segalanya.

“ALLAH sayangkan saya, ALLAH nak saya tidak mengejar dunia ini kerana dengan ujian berkenaan saya lebih mendekat dengan DIA, bersedekah, berzakat, mengaji Al-Quran dan menunaikan umrah.

“Walaupun 20 tahun saya mengalami ujian yang tiada ubat tetapi masih dipanjangkan umur, Alhamdulillah,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, ibu kepada dua cahaya mata itu pengsan
di dalam sebuah majlis sempena sambutan Ramadan.

Iklan

Menerusi video dimuat naik di Instagramnya, memaparkan beliau secara tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri di dalam ruangan solat bagi menunaikan tarawih beramai-ramai.

Dengan bantuan suaminya, Mohd Rosli Awang dan pendakwah terkenal, Ustazah Norhafizah Musa, Haliza separa sedar dan sedang menahan kesakitan ketika dibacakan doa.

Iklan

“Sabar. Tahan lisan dan perbuatan. Ingat balasan ALLAH kepada orang-orang yang sabar. Yakin bahawa semua yang menimpa kita adalah dari takdir Allah yang tidak dapat kita hindari.

“Tawakal. Pasrahkan semua urusan kepada ALLAH. Biarkan ALLAH yang menghukum dan membalas orang yang menyakiti dan berbuat zalim terhadap kita.

“Muhasabah diri dan perbaiki hubungan kita dengan ALLAH dan hubungan kita dengan manusia. Sibukkan diri dengan ilmu dan kegiatan yang bermanfaat,” tulisnya.