SI kecil biasanya orang yang paling suka dengan air tidak kiralah dalam bilik mandi di rumah, laut mahupun kolam.

Anak anda suka dengan masa mandi dan gemar bermain air. Tetapi setibanya di pantai, mereka langsung tidak mahu mencelup kaki ke dalam air laut.

Ketika si manja masih kecil, amat mudah membawa mereka ke pantai atau mandi kolam. Tetapi apabila meningkat usia, mereka seperti seolah-olah takut dengan air.

Jika anda berdepan dengan senario di atas, percayalah anda tidak keseorangan. Bahkan terdapat ramai ibu bapa lain turut mengalami situasi yang sama.

Tetapi kenapa ya? Ia sesuatu keadaan yang biasa untuk wujud rasa takut atau fobia air dalam kalangan kanak-kanak.

Sudah tentu, keadaan ini mengakibatkan ada ibu bapa berasa kecewa dan runsing memikirkan cara untuk mengatasi ketakutan itu.

Punca fobia air

Ketidakmatangan perkembangan pada kanak-kanak boleh menyebabkan wujudnya ketakutan dengan air pada si manja.

Berbeza dengan bayi, mereka masih tidak mempunyai kesedaran atau kewaspadaan terhadap air sebagai sesuatu yang menakutkan.

Malahan mereka akan berasa gembira dengan percikan air ketika dalam tab mandi, tasik, lautan atau kolam renang.

Tetapi saat anak semakin membesar, ia perkara yang normal jika mereka mula berasa takut dengan air.

Tahap perkembangan untuk kanak-kanak dalam usia tadika untuk mengalami fobia air adalah biasa. Ini sebabnya:

Anak anda mula menyedari betapa luas dan misterinya laut dan kolam yang dipenuhi dengan air.

Mereka mula berasakan bahawa air adalah sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya.

Mereka mengalami rasa takut tetapi tidak tahu cara untuk merasionalisasikan ketakutan itu atau meletakkannya dalam 1 perspektif.

Si manja tidak mengetahui bahawa walaupun air kelihatan menakutkan tetapi hakikatnya tidak perlu wujud rasa takut kepadanya.

Baca juga Ajak anak 5 tahun ke atas main plastisin. Air liur meleleh, mulut bergerak berlebihan tanda bermasalah

Mengatasi ketakutan

Sesetengah kanak-kanak mungkin akan dapat melawan ketakutan yang dialami dengan mudah berbanding mereka yang lain.

Namun sekiranya anak anda mempunyai pengalaman yang menakutkan dengan air, ia mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk mengatasi ketakutan dan fobia berkaitan air tersebut.

Cara mengatasi ketakutan dan fobia air;

1. Perkara paling penting yang perlu ada pada ibu bapa adalah untuk sentiasa bersabar kerana rasa takut terhadap air itu normal.

2. Mungkin anda tidak tahu apakah perkara yang menjadi pencetus ketakutan dalam diri anak anda.

3. Ia berkemungkinan wujud apabila melihat anak patung kesayangannya tenggelam ke dasar kolam atau apabila melihat individu lain terjun ke dalam kolam.

Berikut enam perkara yang boleh anda cuba dan perlu diingat sewaktu membantu mengatasi ketakutan si manja terhadap air:

1. Jangan memaksa

Pastikan anak tahu bahawa ia sesuatu yang normal untuk berasa takut. Biarkan anak membiasakan diri dengan air laut atau kolam secara beransur-ansur. Usah memaksa.

Sesetengah anak memerlukan masa untuk berasa yakin dan selesa.

Jika si kecil mengikuti kelas berenang, pastikan jurulatih memahami keadaan mereka dan tidak memaksanya untuk mengikuti sesi pembelajaran sehingga dia benar-benar bersedia.

2. Peralatan lengkap dan menyeronokkan

Berikan si manja goggle dan pelampung dengan warna kegemarannya serta pakaian jaket keselamatan.

Iklan

Sesetengah kanak-kanak akan berasa lebih yakin dan selesa apabila diberikan peralatan yang lengkap. Ini boleh membantu mengatasi ketakutan terhadap air.

Walaupun anda memberikan si manja dengan pakaian keselamatan, tetapi itu tidak bermakna anda tidak perlu memantau anak-anak, okay?

Baca juga Anak asyik minta telefon, ibu ini kongsi 5 cara elak si kecil ketagih gajet

3. Menguji air

Jika waktu mandi biasa, langkah mencuci dan mengeringkan badan dilakukan dengan segera, apa kata ketika mandi laut atau kolam, berikan masa berendam yang lebih lama.

Ini boleh membantu mereka untuk berasa lebih selesa dan mempraktikkan apa yang gemar dilakukannya di dalam tab mandi seperti merendam wajah ke dalam air.

Jangan kedekut untuk memberikan pujian setiap kali mereka melakukan sesuatu dengan yakin.

4. Sertai mereka

Anak anda mungkin akan lebih berasa yakin dan mampu mengurangkan fobia air apabila anda turut menyertainya mandi di laut atau kolam.

Anak mungkin takut untuk mandi secara sendirian, tetapi ia sekurang-kurangnya membuatkan mereka sedar bahawa penting untuk dia berasa selamat di dalam air walau di mana pun dia berada.

Iklan

5. Berbincang

Ia sesuatu yang baik jika anda boleh memahami punca yang menyebabkan wujudnya ketakutan terhadap air.

Ini kerana, jika anda mengetahui apa yang sedang mereka lalui, mungkin lebih mudah untuk anda membantu mengatasi ketakutan tersebut dan membuatkan anak berasa lebih selesa bermain dengan air.

6. Perlahan-lahan

Sebagai ibu bapa, anda perlu menghormati bahawa ketakutan yang dialami si manja bukan sesuatu yang dibuat-buat dan elakkan daripada memaksa mereka untuk melupakan rasa takut itu.

Dengan sabar, perlahan-lahan, dedahkan anak dengan air. Walaupun hasilnya mungkin kecil, tetapi lama-kelamaan, dia pasti akan berjaya mengatasi ketakutan itu.

Paling penting, jangan merendah-rendahkan atau mengejek rasa takut yang dialami mereka, okay?

Sumber: hellodoktor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.