UNTUK menjawat jawatan seorang kakitangan awam, pemohon hendaklah membuat permohonan melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan (SPA9), sistem di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).

SPA kini menggunakan SPA9 sepenuhnya menggantikan Borang Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i) bermula 28 September lalu.

SPA9 merupakan borang pendaftaran permohonan pekerjaan atas talian bagi memohon pekerjaan dalam Perkhidmatan Awam Am Persekutuan, Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Perlis di mana kuasa pelantikan adalah terletak di bawah SPA.

SPA9 telah dibangunkan dengan penggunaan Kad Pengenalan di mana pemohon boleh melihat dan mengemaskini maklumat pendaftaran serta menyemak status permohonan.

Menerusi kenyataan SPA, jika sebelum ini pemohon sudah membuat pendaftaran pekerjaan melalui SPA8i, anda tidak perlu membuat pendaftaran baru untuk SPA9 ini.

Namun, bagi pemohon yang ingin memohon kerja tetapi masih belum membuat pendaftaran di SPA8i, anda perlu membuat pendaftaran baru melalui SPA9.

Pemohon boleh menggunakan SPA9 untuk menyemak status permohonan terkini serta permohonan baru.

Berikut adalah cara pendaftaran masuk atau login SPA9:

  • Langkah 1 : Masuk ke Portal Rasmi SPA9 di https://spa9.spa.gov.my/  
  • Langkah 2 : Klik “Pendaftaran Pengguna”
  • Langkah 3 : Lengkapkan maklumat seperti yang diminta
  • Langkah 4 : Tanda pada kotak dan klik setuju

Artikel berkaitan: Hacker FB kembali aktif menyebar link video ‘bukan-bukan’, ini langkah yang perlu diambil

Pendaftaran pekerjaan dalam SPA9

i. Pemohon hanya dibenarkan mendaftarkan maksimum sehingga 15 jawatan sahaja (termasuk latihan separa perubatan);

ii. Tempoh sah laku pendaftaran pemohon adalah selama satu (1) tahun daripada tarikh pendaftaran;

iii. Pendaftaran pekerjaan adalah tertakluk kepada Dasar One Step Lower iaitu

a. Calon yang memiliki kelayakan Ijazah Sarjana Muda hanya layak memohon jawatan di peringkat Ijazah Sarjana Muda sahaja.

Iklan

b. Calon yang memiliki kelayakan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma/STPM/STAM/Sijil Matrikulasi/Sijil Politeknik hanya layak memohon jawatan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma/STPM/STAM/Sijil Matrikulasi/Sijil Politeknik sahaja.

c. Calon yang memiliki Diploma/STPM/STAM/Sijil Matrikulasi/Sijil Politeknik hanya layak memohon jawatan di peringkat Diploma/STPM/STAM/Sijil Matrikulasi/Sijil Politeknik, SPM/SVM dan Latihan Separa Perubatan.

iv. Pendaftaran pemohon yang tidak memenuhi kriteria seperti di Perkara 2(b)(i) dan 2(b)(iii) di atas akan terbatal dan pemohon dikehendaki untuk mengemas kini semula permohonan dalam SPA9.

Iklan

v. Pemohon juga dikehendaki untuk memastikan alamat emel yang didaftarkan dalam SPA9 adalah tepat serta sentiasa menyemak folder Spam Mail/ Junk Mail dalam emel bagi mengelakkan kegagalan menerima emel pemakluman mengenai panggilan peperiksaan/ temu duga dan sebagainya.

Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk menyemak dari semasa ke semasa segala pemakluman terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia melalui emel yang didaftarkan
dalam SPA9, Portal Rasmi SPA dan Facebook Rasmi SPA.

Sekiranya anda menghadapi sebarang masalah atau pertanyaan dan aduan boleh rujuk di talian HOTLINE SPA di 03-8091 9000.