Tak selesa perut kembung? Cuba teknik ini lega dalam 5 minit

MASALAH perut kembung boleh berlaku kepada semua orang. Kembung adalah apabila perut berasa penuh dan menyebabkan ketidakselesaan, seperti mempunyai belon di dalam perut.

Perut berangin dan kembung ini boleh terjadi disebabkan pelbagai punca seperti anda makan terlalu cepat, makan terlalu sedikit atau terlalu banyak serat, pengambilan garam berlebihan, kurang air dalam badan, sembelit atau disebabkan PMS.

Tidak kira apa jua penyebabnya, gejala kembung ini yang dialami akan membuatkan anda ingin menghilangkannya, betul tak?

Pelbagai saranan daripada pakar tentang makanan dan minuman yang dapat menghilangkan kembung.

Namun ada tip lebih mudah untuk menyingkirkan ketidakselesaan perut kembung dengan segera, iaitu melalui teknik regangan badan!

Ya, anda mungkin terkentut. Tetapi itu apa yang diperlukan tubuh ketika kembung. Apa yang anda perlukan hanyalah tikar senaman dan bersedia untuk mengeluarkan angin!

1. Posisi melepaskan angin

Seperti namanya ia merupakan cara mengeluarkan angin di perut dengan cepat.

Apa yang perlu anda lakukan adalah berbaring secara menelentang dan menarik lutut ke dada dengan kedua-dua tangan.

Keadaan ini membolehkan anda membuka sedikit pinggul dan meregangkan bahagian belakang tubuh.

Baca juga Perut tak selesa selepas berbuka, ini tip elak kembung, point nombor 3 ramai buat

Kredit foto: Freepik

2. Posisi spinal twist

Cara mengeluarkan angin di perut dengan cepat yang seterusnya adalah secara perlahan-lahan turunkan lutut ke sebelah sisi dan badan masih berbaring secara terlentang di atas tikar senaman.

Depakan tangan seakan berbentuk T dan pastikan lutut serta pinggul sejajar antara satu sama lain. Bahagian dada perlu menghadap ke atas.

Usah bimbang jika bahu bergerak sedikit tetapi yang sebaiknya adalah memastikan bahu rata di atas tikar. Keadaan ini membolehkan tubuh meregang lebih mendalam.

Selain itu, anda juga boleh melakukan senaman yoga lain bagi membantu mengatasi masalah perut kembung seperti:

3. Cat-Cow

Teknik yoga cat-cow juga dapat membantu masalah penghadaman dan kembung. Dalam teknik ini anda akan meregang dan memampatkan usus bagi menggalakkan pergerakan.

Berada dalam kedudukan seperti merangkak dan pastikan tulang belakang serta leher dalam keadaan semula jadi.

Mulakan fasa pergerakan ke atas; hembuskan nafas dan tolak tulang belakang ke atas, membolehkan punggung membulat dan kepala ke bawah. Tahan selama 10 saat.

Beralih kepada fasa pergerakan ke bawah; biarkan perut jatuh ke bawah dan lengkungkan badan anda ke arah yang sama. Kepala didongakkan ke atas sedikit. Tahan selama 10 saat.

Ulang pergerakan ini 3x dalam seminit.

Baca juga [VIDEO] Tip paling berkesan buat bayi mudah melepaskan angin. Kembung perut bukan masalah lagi

Kredit foto: Hello Doktor

4. Torso Twist

Teknik torso twist atau pusingan batang tubuh dapat meningkatkan aliran dan peredaran darah – perkara yang amat diperlukan apabila mengalami perut kembung.

Duduk di atas tikar, luruskan kaki dan tangan di sisi.

Kemudian bengkokkan lutut dan angkat kaki ke arah dada, imbangi tulang ekor badan. Siku
dibengkokkan dan pastikan telapak tangan bersentuhan antara satu sama lain.

Pastikan batang tubuh dalam keadaan lurus dan mula pusingkan bahagian atas tubuh ke kiri – berhenti apabila siku kanan melepasi lutut.

Kembali ke tengah dan ulangi pusingan ke kanan. Ia dikira lengkap 1 pusingan.

1 set sebanyak 10x pusingan, dan ulangi sebanyak 2-3 set.

Iklan

5. Extended Puppy Pose

Seakan child pose, teknik ini sesuai dilakukan jika anda makan terlalu banyak. Ia akan membantu melegakan anda dan juga perut.

Mulakan dengan berada dalam kedudukan seperti ingin merangkak. Kemudian gerakkan tangan beberapa inci ke hadapan dan bengkokkan sedikit jari kaki anda.

Hembuskan nafas dan mula menggerakkan punggung ke belakang, dahi ke tikar dan luruskan tangan.

Belakang tubuh perlu dibengkokkan sedikit. Tahan selama 30 saat hingga 1 minit.

6. Sphinx Pose

Seperti teknik cobra pose, teknik ini akan meregangkan tubuh dan organ pencernaan – membantu melancarkan penghadaman.

Mulakan dengan posisi meniarap di atas tikar, siku berada di sisi dan dibengkokkan serta telapak diletakkan di sebelah dada.

Kemudian bengkokkan tubuh ke belakang dan pastikan punggung kekal di bawah. Bahagian leher dalam keadaan semula jadi.

Apabila berada dalam kedudukan yang selesa, bertahan selama beberapa saat sebelum kembali ke posisi asal.

Iklan

Ulangi teknik ini sebanyak 5x.

Baca juga Tiada lagi koleksi lemak! Ikuti 5 senaman untuk kurangkan berat badan

Kredit foto: Hello Doktor

7. Pemeriksaan doktor

Sekiranya masalah kembung berterusan dan menyebabkan rasa ketidakselesaan melampau walaupun selepas menukar diet ataupun mencuba cara mengeluarkan angin di perut dengan cepat ini, lakukan pemeriksaan doktor.

Masalah kembung adalah isu biasa tetapi ia juga boleh menjadi petanda awal kanser ovari kepada wanita.

Pemeriksaan doktor yang dilakukan dapat membantu untuk mengenal pasti sama ada keadaan anda serius atau tidak.

Baca juga Berlebihan ubat kurus buat organ dalaman rosak, obses ramping macam-macam penyakit singgah

Sumber: Hello Doktor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!