BARU-BARU ini, terdapat individu yang berkongsi mengenai cara membersihkan minyak yang baru sekali digunakan dengan menggunakan bancuhan tepung jagung.

Adakah kaedah itu boleh dipakai?

Menjawab kepada persoalan itu, SinarPlus menghuraikan pandangan daripada Pensyarah Kanan Kimia dan Penyelidik Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim.

Tulisnya di Facebook, cara itu memang boleh digunakan.

“Ini kerana minyak baru sekali dan punca kotornya bukan sebab digunakan berulang-ulang kali.

“Kadang-kadang memang ada komponen masakan yang mudah mengotorkan minyak walaupun baru guna sekali,” ujarnya.

Oleh itu, maklum Dr Fatimah, bancuhan tepung yang dituang ke dalam minyak dan digoreng boleh bantu perangkap kotoran atau keladak agar mudah dipisahkan daripada minyak.

DR Fatimah Salim.

“Cuma saya nak pesan, elakkan menggoreng dengan minyak yang sama berulang kali.

“Ini kerana haba yang tinggi akan merosakkan struktur kimia minyak disebabkan tindak balas pengoksidaan, hidrolisis dan pempolimeran,” tambahnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Jadi, selepas itu apa yang berlaku?

Kata Dr Fatimah, tindak balas itu akan menghasilkan bahan kimia berbahaya yang boleh diserap ke dalam komponen masakan yang digoreng.

“Hasil daripada tindak balas kimia minyak ini mudah sahaja dipastikan dengan berubahnya warna menjadi gelap dan tekstur minyak menjadi lebih likat.

“Keladak yang terbentuk hasil daripada tindak balas sesetengah komponen masakan pada suhu yang tinggi juga berpotensi memberikan risiko kepada kesihatan,” ujarnya.

Pada masa sama, terdapat kajian menunjukkan perkaitan antara penggunaan minyak masak yang digunakan untuk menggoreng berulang kali dengan risiko kanser dan penyakit kardiovaskular.

“Sebenarnya tiada garis panduan khas dalam berapa kali minyak masak boleh digunakan semula.

Iklan

“Namun terdapat kajian menunjukkan tidak banyak perbezaan kandungan bahan kimia peroksida dalam minyak masak gorengan yang diguna baru sekali,” beritahunya.

Namun, jelas beliau, kandungan bahan kimia peroksida minyak masak gorengan akan meningkat dua kali ganda dengan hasil lima kali ulangan menggoreng.

Baca juga Jangan guna minyak masak berulang kali, memudaratkan jantung. Berikut tip pilih minyak yang betul

“Kandungan komponen antioksida minyak masak juga masing-masing menurun kepada dua dan sembilan kali ganda untuk minyak masak sekali dan lima kali guna,” katanya.

Iklan

Jangan guna minyak masak berulang kali, ini bahaya!

Kesimpulannya, kata beliau, perhatikan warna dan tekstur minyak masak gorengan kita.

Jika sudah ditapis keladaknya dan minyak masih lagi berwarna gelap dan kelihatan likat, maka elakkan penggunaan.

“Untuk minyak yang sudah ditapis keladaknya pula, saya secara peribadi hanya mengulang guna minyak masak sebanyak tiga kali sahaja.

“Namun, ia bergantung juga kepada jenis komponen gorengan dan suhu yang digunakan semasa memasak,” pesannya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!