BAGI bersama dalam solidariti untuk membantu menyebarkan kesedaran mengenai kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri pada Hari Kesihatan Mental Sedunia, 11 artis Malaysia bersatu dalam muzik menerusi Konsert Amal Maya Voices of Hope 2021.

Konsert ini adalah salah satu inisiatif di bawah kempen #StandforHope yang telah dilancarkan pada 10 September 2021 bersempena dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia oleh Yayasan ZuriatCARE.

Pengerusi Yayasan ZuriatCARE dan Pengasas Awareness Against Suicide (AWAS), Alia Ali berkata, objektif utama kempen #StandforHope adalah untuk memperluaskan usaha dan objektif Yayasan ZuriatCARE dalam menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri.

Katanya, dalam masa sama, mereka akan mengumpulkan dana bagi membantu mereka yang sedang bertarung dengan masalah kesihatan mental.

“Kempen ini merupakan cetusan idea daripada saya bersama dengan Che Puan Sarimah Ibrahim yang juga merupakan duta kepada kempen ini.

“Terdapat dua bahagian utama di dalam kempen ini iaitu bahagian pertama adalah pelancaran lagu tema Yayasan ZuriatCARE berjudul Harapan yang dinyanyikan oleh Che Puan Sarimah Ibrahim dan Damian Mikhail.

“Bahagian kedua kempen pula adalah Konsert Amal Maya Voices of Hope 2021 yang akan disiarkan secara langsung di saluran Youtube Yayasan ZuriatCARE pada 10 Oktober, jam 8.30 malam sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara nama-nama besar yang akan terlibat dalam konsert ini ialah Atilia Haron, Black Hanifah, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Mimifly, Dina Nadzir, Reshmonu, Wani Ardy, Vince Chong, Damian Mikhail bersama-sama dengan Sarimah yang bertindak sebagai pengacara kepada konsert pada malam ini.

Tambah Alia, pihaknya menjemput orang ramai untuk menonton konsert ini kerana bukan sahaja melibatkan persembahan luar biasa, tetapi pihaknya berharap dapat mewujudkan kesedaran melalui maklumat dan pengetahuan mengenai  isu kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri.

Iklan

“Tanggungjawab untuk memperbaiki masalah ini tidak hanya terletak pada mereka yang terjejas. Masalah kesihatan mental dan kecenderungan bunuh diri adalah nyata dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Mari kita sama-sama mengakhiri stigma ini agar mereka yang terkesan tidak merasa keseorangan dalam hal ini. Masih ada harapan untuk hari-hari yang lebih cerah untuk mereka,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ngah, juga telah didiagnosis dengan kemurungan atau Major Depressive Disorder (MDD) dan kebimbangan melampau atau Generalized Anxiety Disorder (GAD).

Iklan

Konsert Amal Maya Voices of Hope 2021 ini adalah percuma buat tontonan semua.

Bagaimanapun hasil kutipan derma dari konsert ini akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan melalui program Yayasan ZuriatCARE seperti Awareness Against Suicide (AWAS), Campaign for Mental Illness Inclusivity & Awareness (CAMELLIA) dan Peluang Kedua.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Yayasan ZuriatCARE dan program-programnya, sila layari www.yayasasanzuriatcare.org.