PEJAM celik, program realiti pencarian bakat komedi, Awesome Raja Lawak (ARL) sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Lima peserta iaitu kumpulan Se’eh, Sedare, Soda, Manja dan peserta solo; Azhar berjaya mara ke pusingan penentuan untuk merebut gelaran juara ARL sekaligus membawa pulang hadiah tunai bernilai RM50,000.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, persiapan akhir sedang giat dijalankan dan persaingan sengit di antara finalis dijangka akan menyuntik kemeriahan dan variasi berdasarkan latar belakang serta stail komedi mereka yang berlainan antara satu sama lain.

“Para peminat setia pastinya tertunggu-tunggu kejutan yang akan dipersembahkan kelak. Bukan itu sahaja, episod kemuncak ARL juga bakal diserikan sekali lagi dengan kehadiran alumni Raja Lawak seperti Mamak, Abu Mamu, Mamat Sepah, Amir dan ramai lagi.

“Pastinya, tirai akhir ARL yang bertemakan ‘Bebas’ dan ‘Muzikal’ bakal berlabuh dengan penuh warna-warni dan kejutan yang memukau,” katanya.

Mengulas tentang prestasi para finalis secara keseluruhan, Ezzan Zalilah berkata, ke semua peserta berjaya menghiburkan audiens dengan corak persembahan yang matang serta pengisian komedi yang kreatif dan bijak.

“Walaupun masih banyak ruang yang boleh diperbaiki, namun pujian perlu diberikan kepada para peserta di atas usaha keras mereka dalam memberikan kandungan bijak yang mudah difahami, membuka minda serta bermanfaat.

“Pusingan separuh akhir yang berlangsung baru-baru ini juga telah menyaksikan para peserta tampil dengan dua persembahan yang bertemakan ‘Seram’ untuk tugasan pertama, dan ‘Superhero’ untuk tugasan kedua.

Iklan

“Satu-satunya wakil finalis akhir solo, Azhar cemerlang di kedudukan teratas dengan markah keseluruhan tertinggi sebanyak 81 peratus (%). Persembahan kedua Azhar untuk tema ‘Superhero’ yang diiringi oleh Bell Ngasri turut mendapat pujian barisan juri.

“Kumpulan Se’eh juga selesa di tangga kedua dengan markah 79% dan turut muncul sebagai pemenang ‘Man of The Match’. Ternyata mereka tidak mempersia-siakan peluang yang diberikan apabila bangkit dengan semangat baharu dan belajar daripada kesilapan walaupun hampir tersingkir minggu lalu,” ujarnya.

Iklan

Bagaimanapun nasib kurang menyebelahi Kumpulan Mabo dan Pelan apabila diumumkan tersingkir pada minggu separuh akhir yang berlangsung Rabu lalu.

Awesome Raja Lawak disiarkan secara langsung menerusi Awesome TV di saluran Astro (123) dan MyTV (112).