PELAKON Zahirah MacWilson menjelaskan, dia memilih untuk pulang ke Perth, Australia untuk bersalin kerana sudah enam bulan tiada kes tempatan untuk Covid-19.

Bahkan, sepanjang wabak pandemik Covid-19 dilaporkan, Perth mencatat jumlah jangkitan yang rendah.

“Untuk yang tertanya mengenai kes di Perth… Sudah enam bulan tak ada kes tempatan. Sebelum ini pun kes sangat rendah. Sekarang mereka tidak ada SOP seperti kena pakai mask atau kena social distancing.

“Mereka mengambil tindakan yang serius dalam hal keselamatan dan itu sebabnya mereka dapat mengatasi keadaan selama ini,” jelas selebriti berusia 25 tahun itu.

Terdahulu, bintang utama Bulan dan Prima Terhebat itu bersama suami, pelakon Aiman Hakim Ridza, 31, pulang ke Perth, Jumaat lalu.

Zahirah turut mengucapkan selamat tinggal kepada peminat di Malaysia dan memberitahu akan kembali semula bersama anaknya tahun hadapan.

Untuk info, ibu Zahirah, Maslinda Yusof, 46, kini menetap di Perth bersama adik-beradik Zahirah yang lain.

Zahirah memilih untuk pulang ke Perth dan bersama keluarganya sepanjang tempoh berpantang.

Sementara itu, Zahirah memberitahu, proses untuk mendapat kebenaran pulang ke Perth bukan mudah kerana dia perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan Australia dan Malaysia.

Iklan

Bagaimanapun dia bersyukur kerana berjaya mendapat kelulusan tersebut.

“WA (Western Australia) tutup sempadan mereka sehingga April 2021. Kecuali anda memegang visa PR, warganegara, kecemasan, perniagaan atau ada alasan kukuh baru boleh masuk.

“Itu pun sudah tentu kena minta kebenaran dari kerajaan Malaysia dan Australia terlebih dahulu. Ia bukan sesuatu yang mudah tapi Alhamdulillah, Allah dah susun semuanya.

Iklan

“Kami kini menjalani kuarantin untuk 14 hari seterusnya walaupun dua-dua dah keputusan negatif untuk Covid-19. Semoga Allah sentiasa lindungi kita semua,” ujarnya yang turut berkongsi pengalaman menjalani kuarantin di sebuah hotel di Perth.

Zahirah mendirikan rumah tangga dengan Aiman pada 20 Februari lalu. Anak pertama pasangan ini dijangka akan lahir pada Januari 2021.