PELAKON dan usahawan, Wawa Zainal berkongsi rasa syukur dan teruja apabila koleksi tudung terbaharu Wawa Scarve habis terjual dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia dilancarkan, semalam.

Difahamkan sebanyak 90,000 helai terjual dengan anggaran pendapatan RM2.5 juta.

Wawa, 31, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, ini adalah bukti sokongan pelanggan setianya selain menyifatkan ia adalah rezeki Allah SWT.

“Alhamdulillah, untuk keluaran kumpulan pertama (first batch) ini habis terjual. Tipu kalau cakap tak meletakkan sasaran dan harapan tinggi, tapi apabila ia benar-benar terjadi memang bersyukur sangat.

“Pada mulanya buat 20,000 helai, lepas tu 50,000 hingga mencecah 90,000 dan habis terjual. Insya-Allah kita akan keluarkan lagi,” katanya.

Menurut Wawa, apa yang penting bisnes diusahakan itu sekali gus membantu ekonomi peniaga kecil serta hasil pendapatan dapat disumbangkan kepada golongan memerlukan.

Iklan

“Saya percaya dalam pada ada rezeki kita, pasti ada rezeki orang lain juga. Itu saya cuba tanam dalam diri dan perniagaan ini. Kalau kita dapat bantu mereka yang memerlukan, insya-Allah rezeki itu akan sentiasa ada.

“Sejujurnya, saya seronok melihat ada ramai lagi orang Melayu kita yang mula mencipta kejayaan atas usaha dan kerja keras mereka,” jelasnya.

Iklan

Dalam masa sama, Wawa berkata, menariknya koleksi kali ini adalah ia eksklusif dan sesuai dijadikan hadiah kepada orang tersayang.

“Macam sebelum ini pun, kita cuba buat rekaan dan warna yang eksklusif. Bukan saja boleh beli untuk diri sendiri, tapi juga dijadikan hadiah kepada insan tersayang seperti isteri, mak, adik, kekasih atau rakan,” ujarnya.