SETELAH beberapa minggu berada pada kedudukan tiga terbawah, langkah Asheed untuk meneruskan persaingan di pentas Gegar Vaganza 9 (GV9) akhirnya terhenti apabila diumumkan tersingkir pada konsert suku akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Membawakan lagu Lena Diulit Intan nyanyian asal Wings, vokalis kumpulan Def Gab C itu hanya memperoleh markah sebanyak 58.60 peratus (%), sekali gus berada di tangga terakhir.

Meskipun tersingkir daripada persaingan, Asheed mengakui berpuas hati menimba pengalaman selama sembilan minggu bersama GV9.

“Saya masuk GV9 ni pun kerana nak menimba pengalaman baharu. Selama ini dengan orang puji saja persembahan dan tidak ada orang komen. Jadi saya masuk GV9 ni saya nak dengar orang komen.

“Di situ saya dapatlah apa yang saya nak dan saya puas hati. Sampai minggu kesembilan ini pun saya dah bersyukur. Tak rugi kita sentiasa belajar dan cari ilmu baharu.

“Saya tidak kisah tentang kedudukan pada konsert mingguan kerana tahu tahap saya di mana. Jadi dalam GV9 ini saya sekadar memberi hiburan tambahan sahaja, lagipun kita bukan ada show selalu, jadi apa salahnya saya sertai,” ujarnya sebaik diumumkan

Berkongsi perancangan kerjaya seninya selepas ini, Asheed memaklumkan bakal muncul dengan single solo buat peminat.

“Insya-ALLAH saya akan kembali aktif dalam bidang seni. Saya sudah menyiapkan sebuah single baharu dengan muzik video animasi.

“Lagu ini sebenarnya sudah siap setahun lebih, cuma mengambil masa kerana menunggu dianimasikan muzik video. Ada hikmah saya masuk GV9.

“Jadi selepas ini saya memang akan fokus kepada projek ini.” katanya yang akan bergerak secara solo buat masa ini.

Dalam pada itu Shila Amzah menggungguli carta teratas dengan markah tertinggi dengan 85.30% menerusi lagu Survival, nyanyian asal Destiny’s Child.

Kedudukan itu sekali gus melayakkannya dinobatkan sebagai Bintang Memukau Adabi dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan produk Adabi bernilai RM500.

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap.

Persaingan di pentas separuh akhir GV9 akan diteruskan oleh Shila Amzah, Hazrul Nizam, Jaclyn Victor, Bob Yusof, Dina Nadzir, Fuad Rahman, Tomok dan VE.

GV9 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam.

Kedudukan dan markah peserta pada minggu kesembilan

1. Shila Amzah – Survival (85.30%)
2. Hazrul Nizam – Writing’s On The Wall (81.00%)
3. Jaclyn Victor – Laguku Untukmu (80.50%)
4. Bob Yusof – Syurga Di Telapak Kaki Ibu (79.70%)
5. Dina Nadzir – Unbreak My Heart (77.80%)
6. Fuad Rahman – Enter Sandman (72.20%)
7. Tomok – Awas (67.30%)
8. VE – I Swear (64.20%)
9. Asheed Def Gab C – Lena Diulit Intan (58.60%)

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)