SEBUAH lagi karya klasik siri anime Jepun diangkat ke layar lebar menjadi naskhah live action hasil adaptasi manga popular, Saint Seiya.

Filem dengan judul Knights of The Zodiac itu mendapat sentuhan daripada pengarah Tomek Baginski yang cuba menjadikan naskhah aksi fantasi itu sebagai garapan istimewa buat peminat setia siri manga karya Masami Kurumada.

Menerusi penampilan pertamanya di layar lebar, naskhah ni mengisahkan tentang seorang remaja jalanan bernama Seiya yang banyak menghabiskan masanya dengan street fighting untuk mendapatkan wang demi mencari kakaknya yang diculik.

Namun apabila salah satu pertarungan itu mendedahkan kuasa kosmo yang dimiliki, Seiya mendapati dirinya terjerumus ke dalam dunia dewa-dewi yang penuh konflik. Dalam masa sama dia juga harus melindungi dewi perang yang dihidupkan semula dalam tubuh seorang gadis muda.

Antara babak menarik dalam Knight Of The Zodiac.

Menghadapi situasi tersebut, Seiya terpaksa bertahan hidup sekali gus melindungi dan menyelamatkan dunia dengan menjadi Knights of The Zodiac.

Visual

Semestinya penampilan sulung karya ini di layar lebar ditunggu ramai dengan meletakkan jangkaan yang tinggi agar naskhah dalam bentuk visual itu mampu memberi lebih kepuasan kepada mereka sebagaimana karya asalnya.

Filem ini disajikan dengan babak-babak aksi menarik melibatkan teraju utamanya yang dipaparkan dalam bentuk pertarungan dari awal filem bermula.

Pengenalan watak-wataknya sedikit sebanyak dalam memberi gambaran tentang latar belakang penceritaannya sekali gus memberi bayangan tentang hala tuju cerita yang bakal dibawakan.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya banyak kekurangan yang terlihat dalam naskhah ini terutamanya dari sudut penceritaan dan kesan visual yang ditampilkan.

Sebagai sebuah filem aksi fantasi, tentunya penonton mengharapkan paparan visual hebat yang mampu meyakinkan dan memberi impak sepanjang tontonan. Apatah lagi ia sebuah karya popular yang mempunyai ramai pengikutnya.

Iklan

Penampilan aktor kelahiran Jepun, Mackenyu Arata sebagai teraju utama juga kurang menyerlah malah beberapa babak aksi melibatkan dirinya kelihatan sedikit janggal, sekali gus menganggu tumpuan penonton.

Pun begitu, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton terutamnya kepada penggemar siri anime.

Knights of The Zodiac kini ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 12 Mei.

Iklan

Knights Of The Zodiac
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Aksi/fantasi
Durasi: 1 jam 52 minit
Pengarah: Tomek Baginski
Pelakon: Mackenyu Arata, Famke Janssen, Madison Iseman, Diego Tinoco, Mark Dacascos
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 12 Mei 2023

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi