MELIHAT pada keperluan dalam usaha memastikan pendidikan awal anak-anak istimewa diberi perhatian sewajarnya, pengarah dan pelakon, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sendiri, dikenali Pertubuhan Ibubapa Anak-Anak Istimewa atau Prisma.

Menurut Ahmad Idham, 49, antara usaha awal Prisma adalah melalui usahasama dengan platform infaq digital, Rezeki Infaq yang menyaksikan pihaknya akan turut mewujudkan Tabung Sinar Firdaus.

“Sumbangan masyarakat kepada tabung ini melalui Rezeki Infaq akan digunakan sebagai dana untuk penubuhan Pusat Intervansi Awal Kanak-Kanak di seluruh negara,” ujarnya.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Prisma dan Rezeki Infaq telah berlangsung secara ringkas di Putrajaya, baru-baru ini.

Ahmad Idham (kiri) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Prisma dan Rezeki Infaq.

Tambahnya, pusat intervansi itu akan menyediakan pendidikan dan terapi khusus kepada anak-anak istimewa berusia 3 hingga 6 tahun.

Proses itu dilihat perlu terutama sebagai persiapan awal buat anak-anak istimewa yang bakal memasuki alam sekolah rendah kelak.

“Contohnya PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi) di bawah Kementerian Pendidikan, saya tidak nampak ada koordinasi yang lebih sistematik dari sudut modul pendidikan khas di mana kita tahu sekolah PPKI hanya akan mengambil anak-anak istimewa bermula dari umur 7 tahun sahaja.

“Oleh itu, sebagai usaha awal daripada pihak saya, Prisma akan memainkan peranan penubuhan pusat intervansi itu.

Iklan

“Malah sumbangan masyarakat melalui Tabung Sinar Firdaus turut digunakan untuk menaja anak-anak istimewa dari keluarga B40,” katanya.

Selain itu, pengarah filem Adnan Sempit yang cukup aktif dengan aktiviti NGO itu juga merancang untuk mewujudkan pelbagai program kesedaran dan latihan kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa di bawah Prisma.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi