Aiman Hakim Ridza akui pernah rasa skeptikal
PELAKON, Aiman Hakim Ridza mengakui mempunyai pandangan skeptikal terhadap filem terbaharu lakonannya, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.
Jelas Aiman, sewaktu ditawarkan filem tersebut, dia bagaikan tidak percaya produksi tempatan akan menghasilkan sebuah filem seperti Top Gun.
“Pada awalnya saya tidak berapa teruja, sebab saya ada pandangan skeptikal mampukah produksi tempatan hasilkan filem yang hebat.
“Ternyata penilaian saya salah dan bila sudah terlibat dengan pembikinan filem ini, saya rasa sangat bangga kerana dipilih secara peribadi oleh pihak penerbit serta dipersetujui oleh TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia).
“Ternyata produksi kita mampu untuk hasilkan sebuah filem hebat. Apa yang pengarah mahu adalah kami nampak kuat tetapi punyai sifat kemanusiaan berjaya diterjemahkan dalam filem ini,” katanya pada majlis tayangan filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berkongsi pengalamannya sebagai Mejar Zafran aka Mantis, Aiman berkata, apa yang membuatkan dia berasa lebih bangga dan terharu apabila diberi peluang memandu pesawat Sukhoi mengelilingi landasan beberapa kali.
“Selepas sesi latihan yang ketat selama dua minggu, mereka beri peluang kepada saya membawa pesawat Sukhoi dan saya rasa sangat bertuah,” katanya teruja.
Pengorbanan
Tambah Aiman, 33, peluang terlibat dalam pembikinan filem itu secara tidak langsung membuatkan dia memahami pengorbanan anggota tentera dalam menjaga keamanan negara.
“Kita bertuah kerana berada dalam negara yang tidak terlibat dengan peperangan. Di sebalik keamanan itu, ada pihak yang membantu menjaga keamanan iaitu tentera kita.
“Mesej tersirat yang cuba disampaikan dalam filem ini adalah setiap orang mempunyai perjuangan masing-masing.
“Filem ini juga mengetengahkan perjuangan yang kita tidak nampak seperti apa yang anggota tentera buat untuk negara,” ujarnya terharu.
Dalam pada itu, ditanya perkembangan terbaharu, menurut Aiman, beliau akan kembali membintangi sebuah drama untuk siaran Astro Ria pada September ini.
Walaupun telah mendapat perhatian dalam dunia perfileman, suami kepada Zahirah MacWilson itu mahu lebih selektif dalam menerima apa juga tawaran yang datang.
“Saya tidak mahu buat asal boleh dan kerana ia adalah filem. Kalau boleh biarlah penglibatan saya dalam dunia perfileman berbaloi seperti filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.
“Bagaimanapun, saya tidaklah memilih untuk membintangi filem aksi sahaja selepas ini. Ia bergantung pada tawaran,” kata Aiman yang merupakan bapa kepada si comel, Isaac Raees berusia 19 bulan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang