NAMA Datuk Aishah mungkin dikenali sebagai penyanyi popular, namun bagi yang sudah lama mengikuti figura berusia 57 tahun itu pasti tahu kebolehannya menghasilkan lirik lagu.

Antara lagu ciptaan Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin yang cukup popular adalah Janji Manismu yang telah menjuarai pertandingan Juara Lagu 1990.

Terbaharu, setelah sekian lama tidak menulis lirik, Aishah kembali berkarya menerusi lagu Dia yang mengetengahkan lirik dakwah.

Lebih istimewa, lagu tersebut menyaksikan kerjasama semula Aishah bersama komposer Chevy Amry, manakala Azlan Abu Hassan menyiapkan susunan lagu.

“Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu Dia ialah kita haruslah sentiasa bersyukur walau hidup penuh ujian. Tidak perlu menunggu kesempurnaan hidup untuk rasa bersyukur dan bahagia,” katanya.

Dalam pada itu, Chevy menambah, Aishah sudah lama teringin untuk merakamkan lagu dakwah dengan konsep moden, upbeat dan uptempo supaya orang bersemangat mendengarnya.

“Saya menghantar demo dan Kak Aishah amat suka melodinya. Beliau kemudian mendapat ilham untuk menulis lirik dan memberi tajuk Dia.

“Kemudian Azlan menyiapkan susunan lagu manakala Nisa Addina turut menyumbangkan petikan violin dalam lagu ini,” jelasnya.

Iklan

Rakaman vokal dilakukan di DMO Music Studio, Puchong yang mengambil masa dalam sejam. Penggambaran muzik video (berkonsepkan alam semula jadi) pula dilakukan di Solesor Kampong Beach Resort, Port Dickson.

“Alhamdulillah penggambaran muzik video berjalan dengan lancar bermula jam 4 petang sehingga malam.

Iklan

“Saya berharap lagu ini akan diterima baik oleh pendengar dan mesej yang ingin saya sampaikan dapat diterima dengan baik,” ujar Aishah yang bakal melakukan konsert solo bersama Malaysian Philharmonic Orchestra pada 6 Ogos ini.

Muzik video rasmi Dia boleh ditonton di YouTube MVM Music manakala lagu tersebut boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, JOOX, Apple Music dan DEEZER.