SELEPAS tiga tahun tidak tampil dengan karya baharu, malah seperti hilang daripada radar dunia hiburan sehingga disangka sudah tidak lagi bersama, kumpulan Akim & The Majistret (ATM) kini kembali.

Kumpulan yang dianggotai oleh Akim Ahmad sebagai vokalis bersama Wan 6ixthsense (dram), Freddy Hyperact (gitar), Fairuz Sofazr (bass), Afiez Azam (keyboard), Gjie 6ixthsense (gitar), dan Zimi Sofazr (gitar) itu mengubat rindu peminat dengan menampilkan single baharu, Saksama.

Mewakili ATM, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, berkata, selepas kali terakhir muncul dengan single Roulette pada 2020, masing-masing sibuk dengan aktiviti sendiri, selain pandemik Covid-19.

“Memang agak lama kami tidak tampil dengan karya baharu dan saya sendiri sedar dengan perkara itu. Sebenarnya saya dan isteri berehat sekejap dan aktif buat lagu untuk artis lain.

“Pada masa sama kami baru menimang cahaya mata ketiga. Jadi, banyak masa dihabiskan untuk keluarga dan perkara seperti itulah yang membuatkan saya agak lama berehat.

“Bagaimanapun berkat semangat yang diberikan oleh anak dan keluarga, hari ini saya datang bersama ATM untuk lagu terbaharu berjudul Saksama,” katanya.

ATM bersama Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim (tiga dari kiri) ketika pelancaran single Saksama baru-baru ini.

Berkongsi tentang lagu bergenre Rock Alternatif ciptaan sendiri oleh ATM dan lirik tulisan Bunga Cantik , penyanyi berusia 32 tahun yang turut aktif mencipta lagu dengan nama pena Hang Nadim itu mengharapkan agar karya tersebut menjadi permulaan baharu kepada perjalanan kumpulan itu.

Istimewa

Menyifatkan karya terbitan Nova Music itu mempunyai keistimewaan tersendiri, Akim berkata, keunikan lagu Saksama terserlah dari awal proses pembikinan lagu hinggalah selesai.

Setiap anggota dalam ATM memberikan idea dan sesuatu yang bersesuaian untuk melengkapkan penghasilan lagu itu.

“Single terbaharu daripada ATM ini dicipta sepenuhnya oleh setiap anggota kumpulan ini sendiri. Liriknya pula daripada Bunga Cantik yang juga adalah isteri saya, Stacy dan ia menjadi satu gandingan yang tiada dua.

“Saya sentiasa berbincang dengan Bunga Cantik mengenai apa yang kami mahukan, malah semasa proses rakaman juga, dia sendiri yang menjadi penerbit vokal untuk single ini. Banyak input menarik kami terjemahkan dalam lagu ini sebenarnya.

“Saya merangkumkan lagu ini dalam satu perkataan iaitu tenang. Mereka yang pernah mengikuti lagu-lagu kami, pasti dapat rasakan lagu Saksama ada sedikit perbezaan kerana ia lebih tenang,” katanya.

Aksi Akim bersama ATM ketika menjayakan showacse istimewa sempena pelancaran single Saksama.

Selain teruja dengan single Saksama yang dilancarkan pada 9 Jun lalu itu, Akim turut berkongsi ATM kini dalam proses menyiapkan album baharu mereka,s elain perancangan mengadakan konsert jelajah di seluruh negara.

Iklan

“Bukan sahaja Saksama, tetapi kami juga ada beberapa lagu lain yang mengikut perancangannya akan dimuatkan dalam album penuh kami nanti. Insya-ALLAH, kami akan cuba sehabis baik untuk siapkan album itu pada tahun ini.

“Selepas album selesai, kami akan ke fasa untuk mengadakan konsert dan siri jelajah ke lokasi terpilih seluruh negara. Saya berharap peminat dapat bersabar dan berdoa supaya kami diberi kemudahan untuk selesaikan album ini sebelum beralih ke fasa seterusnya,” akuinya.

Tambah Akim lagi, ATM yang sudah hampir sedekad dalam industri muzik tanah air dan semesti mereka tmahu terus diterima baik oleh peminat dan masyarakat.

“Peminat juga sedia maklum akan semangat kami dalam bidang muzik ini dan ATM adalah platform terbaik untuk menterjemahkannya.

Iklan

“Seiring dengan perkembangan ATM yang hampir menginjak usia 10 tahun, evolusi muzik kami membawa satu gambaran berbeza untuk ATM dahulu dan sekarang,” katanya.

(FOTO: NOVA MUSIC)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi