PENYANYI kumpulan XPDC, Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail akan mengadakan persembahan bercorak muzikal Islamik bersama beberapa orang selebriti pada 26 Februari depan bertempat di Pusat Tahfiz Ulumulquran Wal Ahadith.

Ali berkata, persembahan muzikal Islamik tersebut adalah bagi mengisi tabung pusat pendidikan agama tersebut yang kekurangan dana kesan daripada pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Persembahan melibatkan beberapa penyanyi era saya seperti Ijam Medicine dan beberapa penyanyi dan selebriti hiburan yang kita jemput.

“Lagu-lagu adalah bercorak kerohanian dan sesuai untuk hiburan seisi keluarga. Kita menganjurkan persembahan di perkarangan pusat tahfiz kita di Jalan Musran Kampung Rantau Panjang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sesi bersama penaja daripada Syarikat Bazenda Sdn. Bhd. di pusat tahfiz tersebut di Jalan Musran Kampung Rantau Panjang hari ini.

Ali, 54, berkata, pembelian kerusi untuk persembahan amal tersebut melibatkan tiga kategori iaitu platinum dengan harga RM200, emas RM150 dan perak RM100.

Jelas Ali yang juga Duta Tahfiz Ulumulquran Wal Ahadith, persembahan makan malam itu akan diadakan bermula jam 9 malam hingga pjam 12 malam, 26 Februari depan.

“Kita menyasarkan sumbangan sebanyak RM200,000 bagi menampung kos gaji 34 pengajar, pekerja pentadbiran dan kos makanan pelajar.

“Persembahan melibatkan sesi persembahan nyanyian, perkongsian ilmu dan lain-lain oleh artis dan selebriti jemputan,” katanya.

Iklan

Mengulas mengenai kesihatannya, walaupun mendapat rawatan akibat sakit jantung dan semput September tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), beliau tetap teruja untuk mengadakan persembahan demi membantu pusat tahfiz tersebut.

Jelas Ali lagi, beliau mungkin menyampaikan beberapa lagu sahaja dan dibantu oleh rakan-rakan artis yang lain.

Iklan

Sementara itu Pengerusi Pusat Tahfiz Ulumulquran Wal Mart, Roslan Ariffin berkata, pusat tahfiz tersebut dibuka pada tahun 2011, mempunyai 220 pelajar dan hanya mengenakan yuran RM150 seorang setiap bulan.

“Sememangnya yuran kita rendah bagi memastikan ramai yang dapat belajar di sini. Pelajar kita bukan sahaja pelajar tempatan, malahan kita ada pelajar dari Kemboja dan Vietnam,” katanya.

Roslan berkata, orang ramai yang berminat untuk melihat Ali XPDC dan kawan-kawannya mempamerkan bakat mereka boleh menghubungi Roslan di talian 0162446567 untuk menempah 80 meja dengan kapasiti 10 kerusi setiap meja bagi menyaksikan persembahan istimewa tersebut.