SERONOK melihat kerterujaan anak-anak menanti ketibaan Aidilfitri, selebriti popular, Alif Satar dan Lisa Surihani memilih untuk membuat persiapan raya lebih awal.

Bukan sahaja untuk mengelakkan berlakunya kelam kabut, tetapi Aliff dan Lisa mahu memberi peluang kepada keluarga masing-masing memilih yang terbaik buat mereka.

Menurut Lisa, 37, sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu, dia dan suami, Yusry Abd Halim terlebih dahulu menyiapkan segala persiapan raya untuk keluarga.

“Tahun ini saya dan suami mengerjakan umrah pada bulan Ramadan selama dua minggu. Selepas pulang terikat dengan komitmen lain pula, selain nak fokus pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Jadi sebelum masuk Ramadan, segala persiapan raya untuk anak-anak dan keluarga sudah diselesaikan terlebih dahulu,” ujarnya.

Lisa ikut warna tema raya pilihan anak.

Lebih istimewa, ibu kepada Yahaira Leanne; 8, Yusof Leonne; 6, dan Yunos Laith; 2, berkata, warna tema baju raya mereka pada tahun ini dipilih sendiri oleh anak perempuannya.

“Selalunya saya sendiri yang akan tentukan warna tema baju raya kami sekeluarga, tetapi kali ini saya minta anak dan suami yang pilih.

“Yahaira mahu warna kuning lembut dan suami memilih kelabu. Jadi itulah warna tema kami untuk raya pertama dan kedua pada tahun ini,” kongsi Lisa yang saban tahun meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur (KL).

Khutbah raya

Sama seperti Lisa, Alif juga selesa menyelesaikan keperluan raya anak-anak lebih awal kerana sibuk dengan pelbagai komitmen sepanjang Ramadan.

Tidak menyerahkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya di bahu isteri, Shadila, penyanyi lagu Anugerah Terindah itu turut bersama-sama melakukan persiapan agar semua berjalan lancar dan dalam masa sama menikmati momen tersebut bersama keluarga kecil mereka.

“Setiap kali nak buat persiapan raya, memang kecoh kami sekeluarga. Dah macam buat program TV bila tengok karenah masaing-masing. Itulah yang buat saya seronok dan harap anak-anak juga dapat menikmati momen ini.

“Alhamdulillah Aidilfitri kali ini juga berbeza sangat istimewa kerana kami sekeluarga bakal sambut di rumah baharu. Semangatnya lain macam sedikit.

“Kami sambut raya di KL sahaja kerana ibu bapa dan keluarga saya memang ada di sini. Selalunya seminggu selepas raya barulah kami akan ke Pulau Pinang untuk melawat saudara-mara di sana,” katanya yang memilih warna hitam untuk tema raya kali ini.

Alif dan keluarga raikan 1 Syawal di Kuala Lumpur.

Berkongsi kenangan rayanya, bapa kepada Alisha Anugerah; 8; Ariana Mecca; 6; dan Muhammad Ali; 4, berkata, antara momen paling diingati ketika menyambut 1 Syawal pada tahun pertama pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Momen paling best bagi saya apabila pertama kali berpeluang baca khutbah raya untuk keluarga sendiri di rumah ketika kita semua menjalani Perintah Kawalan Pergerakan dan tidak dibenarkan keluar.

“Setiap kali menjelang raya, mesti akan ingat momen itu. Kalau tidak kerana pandemik, mungkin saya takkan berpeluang baca khutbah begitu. Sangat istimewa.

“Alhamdulillah sekarang kita semua dapat kembali beraya secara normal macam dulu-dulu. Seronok tengok orang sibuk keluar membeli-belah buat persiapan dan kemeriahan raya kembali terasa,” katanya.

Iklan

Duta Hong Leong Bank

Dalam masa sama, dua selebriti popular ini turut teruja apabila dilantik sebagai duta Hong Leong Bank (HLB) bagi mempromosikan perkhidmatan perbankan mereka kepada orang ramai.

Menariknya, Alif dan Lisa merupakan selebriti pertama yang mendapat kepercayaan daripada bank tersebut untuki mewakili jenama mereka.

“Saya bersemangat untuk mewakili HLB dalam usaha berterusan mereka untuk menjadikan produk dan perkhidmatan kewangan mudah diakses semua orang.

“Akses mudah kepada produk dan perkhidmatan adalah penting dalam membantu masyarakat mencapai kebebasan kewangan dan meningkatkan kualiti hidup. Celik kewangan ini membolehkan mereka untuk merancang masa depan kewangan,” ujar Alif.

Alif dan Lisa bersama Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal.

Sementara itu, Lisa pula melihat peluang tersebut sebagai platform terbaik untuknya membantu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pengurusan kewangan.

Iklan

“Saya berharap dapat bersama HLB untuk membantu lebih ramai orang, terutamanya keluarga muda untuk menguruskan kewangan dan membina landasan kukuh untuk anak-anak mereka,” katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan dirinya dan Alif Satar sebagai duta HLB baru-baru ini.

HLB turut melancarkan video kempen raya, Gaya Raya Kita yang menampilkan kenangan dan pengalaman beraya melalui pandangan kanak-kanak di saluran YouTube rasmi mereka.

(FOTO: RAFEQ REDZUAN & INSTAGRAM ALIF SATAR)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi