"ALLAH telah tetapkan jodoh yang terbaik buat saya" - Zulin Aziz

A
A
A

BIARPUN pernah beberapa kali berdepan kekecewaan disebabkan kisah cinta yang tidak kesampaian, pelakon dan pelawak, Zulin Aziz tidak pernah menutup pintu hatinya, apatah lagi mempersoalkan tentang ketentuan jodoh.

Justeru, pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz, memilih untuk sentiasa berfikiran positif dan memotivasikan diri bangkit melangkah ke depan dan memulakan hidup baharu setiap kali berdepan kejadian serupa.

Malah, wanita yang menginjak usia 33 tahun itu tidak malu berkongsi kisah suka duka dalam perjalanan mencari cinta sejati di media sosial untuk menyampaikan mesej agar wanita lain di luar sana tidak berputus asa dalam menjalani kehidupan.

“Saya akui sebelum ini kurang bernasib baik dalam soal cinta. Ada sahaja perkara yang tidak kena sehingga membawa kegagalan dalam percintaan. Bukan sekali, tetapi beberapa kali melalui pengalaman sebegitu.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah serik dan sentiasa bersikap terbuka untuk menerima orang baharu kerana percaya ALLAH telah tetapkan jodoh yang terbaik buat saya.

“Jadi tiada sebab untuk saya menutup pintu hati atau terlalu berasa kecewa dengan apa yang terjadi. Alhamdulillah, hari ini saya telah ditemukan jodoh dan pasangan yang menghargai saya seadanya,” ujarnya kepada SinarPlus.

Memilih tarikh istimewa 20 Februari 2022, Zulin selamat disatukan dengan cinta hatinya, Farhan Norzaini, 35, sebagai pasangan suami isteri, selepas dua tahun berkenalan.

Menariknya, berita perkahwinan beliau itu menarik perhatian ramai peminat di media sosial yang mengakui tumpang gembira dengan kebahagiaan yang dikecapi.

“Mungkin disebabkan sebelum ini saya kerap tampil dengan cerita putus cinta yang menyedihkan sehingga ramai peminat mengambil berat dan mengikuti perkembangan tersebut.

“Jadi apabila akhirnya saya bertemu jodoh, mereka turut berkongsi kegembiraan itu dengan mengirimkan mesej di laman sosial yang mengandungi kata-kata positif dan doakan yang terbaik buat saya. Tak sangka begitu ramai yang prihatin dan gembira untuk saya.

“Tidak kurang juga yang mengakui mendapat inspirasi daripada kisah saya, sekali gus memberi semangat kepada mereka terus melangkah dan tidak berputus asa meski apa pun yang dilalui dalam kehidupan,” katanya.

Tawaran istimewa

Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Kuala Lumpur yang dicungkil bakat daripada program Pilih Kasih terbitan RTM itu bakal terlibat dalam program Umrah Syabibah Travel Bersama Selebriti pada bulan Ramadan akan datang.

“Alhamdulillah di sebalik kesibukan dengan aktiviti seni dan perniagaan, saya dipelawa menyertai program ini untuk bersama-sama mengajak orang ramai mengerjakan umrah pada bulan Ramadan nanti.

“Sebenarnya tawaran ini sangat istimewa kerana datang ketika saya berada di depan Kaabah dan berdoa agar berpeluang untuk kembali lagi ke Tanah Suci pada masa akan datang. Tak sangka doa itu terus dimakbulkan dan saya anggap ia sebagai rezeki sungguh tak disangka.

“Insya-ALLAH suami juga akan bersama saya menyertai rombongan umrah ini pada Ramadan nanti. Saya anggap ia sebagai hadiah perkahwinan kami berdua dan akan dikenang sampai bila-bila,” katanya yang baru sahaja mengerjakan umrah keduanya pada bulan lalu.

Menyentuh tentang kerjaya seni, bintang drama Penjara Janji itu berkata, beliau terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon kerana terikat dengan aktiviti melibatkan urusan perniagaan sehingga Mac ini.

“Kebanyakan tawaran merupakan projek drama berepisod yang mengambil masa penggambaran agak panjang.

“Disebabkan terikat dengan jadual road tour melibatkan urusan perniagaan yang telah disusun lebih awal termasuk kunjungan ke Turki, saya terpaksa melepaskan tawaran itu.

“Kalau projek telefilem mungkin tidak ada masalah kerana jangka waktu penggambaran sekejap sahaja. Apa-apa pun, insya-ALLAH selepas bulan Mac, saya akan kembali di lokasi penggambaran,” katanya.

Dalam masa sama, Zulin mengakui turut berasa bimbang dengan keadaan semasa pandemik Covid-19 yang kembali menyaksikan peningkatan kes harian tinggi dalam negara.

“Kalau ikutkan takut, memang susah nak keluar bekerja dan menjalani kehidupan seharian. Apatah lagi saya juga pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini dan tahu bagaimana rasanya sakit yang dialami.

“Namun mahu tidak mahu, kita sekarang kena hidup dengan dengan virus ini. Apa yang penting kita sentiasa patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dan jaga diri apabila berada di luar rumah terutamanya di kawasan melibatkan ramai orang,” akhirinya.

(FOTO: CST PRODUCTION)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca