KELIBAT Amyra Rosli dalam industri lakonan sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Setelah sedekad membintangi puluhan drama dan telefilem, selebriti berusia 30 tahun ini memilih mencabar diri keluar dari zon selesa untuk menggalas tanggungjawab selaku pengacara baharu program Nona di TV3.

Mengakui teruja dan dalam masa sama gementar dengan tugas baharu itu, isteri kepada pelakon Amar Baharin itu memberitahu sudah lama memasang impian untuk menjadi pengacara.

Bagaimanapun keinginan itu terpendam begitu sahaja kerana Amyra menganggap dirinya belum cukup ilmu lagi.

“Ketika ditawarkan untuk menjadi pengacara Nona, memang saya terkejut. Maklumlah, orang sedia maklum program Nona ini besar.

“Sebenarnya, dari dulu lagi saya memang ada pasang impian untuk menjadi pengacara, tetapi saya fikir ilmu belum cukup lagi ketika itu.

“Jadi bila diberi peluang oleh TV3 untuk menjadi pengacara Nona, saya buang rasa takut itu dan cabar diri untuk cuba sesuatu yang baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pengacara baharu Nona yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Tambah Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, sebagai orang baharu dalam arena pengacaraan, dia tidak dapat membuang rasa gementar, namun akan mencuba sehabis baik.

“Gementar itu tentu ada. Apa pun yang saya buat untuk pertama kali, waima setiap kali memulakan penggambaran drama, saya akan rasa gementar.

“Saya anggap ini sebagai satu cabaran untuk keluar dari zon selesa. Saya kira ini juga adalah rezeki untuk menimba ilmu baharu,” jelasnya.

Jadi diri sendiri

Tidak mahu terikut-ikut gaya penyampaian pengacara sebelum ini, ibu kepada dua cahaya mata itu selesa untuk menjadi diri sendiri.

Menjadikan Puan Sri Normala Samsudin sebagai sumber inspirasi, Amyra berkata, dia banyak membuat latihan sebelum memasuki studio rakaman.

“Saya dapat nasihat jangan lihat bulat-bulat program Nona sebelum ini sebab nanti saya akan terikut.

“Semua orang tahu yang Nona sentiasa membawa imej keanggunan dan elegan, cuma kali ini ada kelainan sikit yang saya akan lakukan iaitu dengan mengekalkan keanggunan serta gaya yang lebih bersahaja.

“Saya percaya ia boleh mendekati penonton dengan cara itu,” katanya.

Iklan
Bersyukur kerana suami tercinta sentiasa memberi sokongan dan dorongan.

Dalam pada itu, ditanya perasaannya apabila dipilih menggantikan Mira Filzah, pelakon Sabarlah Duhai Hati itu mengakui banyak perkara yang difikirkannya.

Katanya, dia ada terfikir menghubungi Mira Filzah menerusi mesej langsung (direct message) di akaun Instagram, namun tidak terluah untuk bertanya mengenai program Nona pada awalnya.

“Pada mulanya memang pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Adakah Mira sudah tamat kontak, hamil ke?

“Saya ada terfikir nak hantar mesej langsung kepadanya tetapi tak terluah dengan kata-kata sebab pada ketika itu pihak Media Prima Berhad masih lagi berbincang dengannya. Malah ketika itu masih belum ada kata putus.

Iklan

“Jadi saya ambil pendekatan akan bagi tahu Mira selepas sidang media ini. Saya akan hubungi untuk tanyakan tip atau pendapat sebagai kawan-kawan dan juga keluarga Nona,” ujarnya.

Selain Mira dan Normala Samsudin, antara nama lain yang pernah menjadi pengacara bagi program Nona yang mula bersiaran sejak tahun 1991 adalah Datin Seri Norjuma Habib, Maya Karin, Vanida Imran, Fara Fauzana, Neelofa dan Fouziah Ghous.

Sedia terima kritikan

Sementara itu, ditanya adakah dia bersedia menerima segala kritikan dan kecaman selepas ini, Amira berkata, dia sudah bersedia 101 peratus.

Amyra terbuka dengan kritikan kerana melihat tidak ada manusia yang sempurna. (Foto : Instagram Amyra)

“Saya bukan tak peduli dengan netizen, tetapi apa yang dapat ini adalah rezeki saya. Apa pun yang netizen nak kata, saya lihat daripada sudut positif.

“Tak ada yang sempurna dalam dunia ini, orang akan buat silap dan kita perlu sentiasa perbaiki kesilapan itu. Kalau ada yang kecam dan kritik cara penyampaian saya selepas ini, saya senyum sahaja,” katanya yang berterima kasih kepada pihak Media Prima kerana memberikannya peluang itu.