BIARPUN beraya tanpa ibu dan ayah, penyanyi Ani Mayuni meluahkan rasa syukur masih berpeluang meraikan lebaran dengan adik-beradik dan keluarga mertua yang sentiasa berkongsi kasih sayang tanpa jemu.

Mengakui sesekali terbit rasa cemburu dengan mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa, Ani atau nama sebenarnya Aishah An-Nur Osman, 44, berkata, hatinya begitu sayu setiap kali menyambut Aidilfitri.

“Saya sudah lama kehilangan ayah dan ibu, malah bertahun-tahun raya tanpa mereka. Jadi setiap kali raya, saya dan adik-beradik yang lain memang akan terkenangkan kemeriahan raya bersama mereka.

“Rindu nak salam dan cium tangan ayah ibu di pagi raya. Kadang-kadang rasa cemburu tengok mereka yang masih ada orang tua dan dapat beraya bersama-sama. Memang sensitif sikit bila bercerita tentang raya tanpa orang tua ni.

“Apa-apa pun saya bersyukur dapat menumpang kasih dengan ibu mertua dan adik-beradik saya yang lain. Hubungan kami sangat rapat dan ketiadaan ayah dan ibu menjadikan kami lebih menghargai antara satu sama lain,” katanya.

Ani bersama suami dan tiga anak-anaknya iaitu Wirda Viviana, Wirna Airisya dan Muhammad Emir Oezil menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Pelakon drama Kampung Kolestrol itu berkata, meskipun hanya beraya di ibu kota, namun kemeriahan raya tetap dirasakan, apatah lagi dapat berkumpul dengan keluarga dan saudara-mara.

“Setiap tahun memang raya di Lembah Klang saja. Saya dan suami orang Kuala Lumpur, jadi tak ada isu bergaduh nak balik raya di mana. Saudara-mara pun ramai di sini.

“Saya sebolehnya akan bawa anak-anak beraya di rumah keluarga dan saudara-mara. Masa raya inilah nak kenal-kenal dan eratkan silaturahim. Kalau tak raya pun, setiap kali kenduri saya akan pastikan anak-anak ikut kerana tak mahu putus hubungan dengan makcik pakcik dan sepupu mereka.

Iklan

“Saya faham zaman dah berubah dan cara sambut raya pun dah tak sama macam dulu. Namun jauh di sudut hati, saya mahu anak-anak menikmati suasana raya yang sebenar, kekalkan tradisi menziarahi keluarga dan saudara-mara, sekali gus menghargai hari raya,” ujarnya.

Undangan persembahan

Dalam pada sibuk beraya, bintang Gegar Vaganza musim kelapan itu juga mengakui tidak menang tangan menerima undangan persembahan sepanjang Syawal.

“Alhamdulillah selepas PKP berakhir dan kini dalam fasa peralihan endemik, saya dikurniakan rezeki yang sangat murah sehingga ke hari ini.

Iklan

“Sepanjang Ramadan lalu saya bekerja sehingga beberapa hari menjelang raya. Bukan sahaja sibuk di lokasi penggambaran drama, tetapi juga terlibat dengan tugas pengacaraan dalam beberapa majlis.

“Pada musim Syawal ini pula saya mendapat undangan mengadakan persembahan pentas. Seawal raya kedua saya sudah beraksi di pentas untuk menghiburkan orang ramai. Apa yang seronoknya, saya bawa anak-anak sekali ketika kerja dan beraya dalam masa sama,” akhirinya.

(FOTO: Azrul Rafie)