Anwar : The Untold Story Imbau kisah lama
SEBULAN selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November lalu, filem yang mengisahkan figura itu hangat diperkatakan.
Anwar : The Untold Story adalah naskhah yang digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.
Bagaimanapun pembikinan filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan DMY Creation selaku pengedar rasmi itu telah dilakukan lebih awal sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri lagi.
Naskhah arahan Viva Westi itu menampilkan Farid Kamil sebagai Anwar, Acha Septriasa (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) dan Hasnul Rahmat (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dengan dibantu 90 peratus pelakon dari Indonesia seperti Piet Pagau, Siska Chadwick dan Dewi Irawan.
Perjalanan filem ini diuar-uarkan sebagai sebuah persoalan yang sudah lama bermain di fikiran penyokong Anwar tentang mengapa beliau ditangkap dan apa yang menjadi titik tolak kejatuhannya sewaktu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.
Penulis sendiri masih berada di awal peringkat sekolah rendah pada ketika itu dan tentu sekali tidak mengetahui akan senario politik.
Justeru penulis mengharapkan sedikit-sebanyak mendapat input daripada cerita yang diinspirasikan daripada kisah benar ini.
[caption id="attachment_114826" align="alignnone" width="800"]Penonton dihidangkan dengan beberapa babak penting yang bakal mengimbau kenangan bagi mereka yang pernah sama-sama melaluinya.[/caption]
Viva bijak mengunci perhatian penonton dengan memulakan perjalanan filem ini dengan penangkapan Anwar dan siri jelajah politiknya yang mendapat perhatian ramai sekitar tahun 1998.
Perjalanan filem itu kemudiannya disusun dengan beberapa imbas kembali apa yang berlaku kepada figura politik ini bermula akhir tahun 1980-an sehinggalah beliau menjadi menteri kabinet terpenting dalam kerajaan.
Bagaimanapun mungkin kerana mahu memasukkan banyak momen penting, ada beberapa babak dilihat mendatar dan bercempera.
Bahkan penulis merasakan ada babak yang dirasakan tidak perlu ada dan boleh diganti dengan plot yang lebih menarik lagi.
Bukan itu sahaja, penulis cuba berlapang dada mendengar pelakon yang gigih bercakap bahasa pasar kita, biarpun mereka sebenarnya adalah pelakon dari Indonesia.
Pada sudut penghayatan lakonan pula, kredit harus diberikan kepada Farid, Acha dan Hasnul yang berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik.
Pujian juga harus diberikan kepada Acha yang berbahasa Melayu dengan baik, biarpun ada ketika tergeliat lidah untuk memastikan tidak terkeluar bahasa ibundanya.
Antara lain yang menarik mengenai filem ini adalah syot sinematografi yang benar-benar mengagumkan.
Secara keseluruhannya, filem ini boleh menjadi naskhah wajib tonton bagi peminat Anwar, tetapi dalam segi pengisiannya, ia belum cukup memuaskan.
Anwar: The Untold Story
Pengarah: Viva Westi
Pelakon: Farid Kamil, Hasnul Rahmat, Acha Septriasa, Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Genre: Biografi/Drama
Durasi: 1 jam 48 minit
Klasifikasi: P13
Tayangan: 18 Mei 2023
Bintang: 3.5/5
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang