AKTRES Anzalna Nasir mengajak orang ramai mengumpul dana bagi membantu seorang kanak-kanak, Mas Muhammad Luth yang menghidapi tumor.

Mas Muhammad Luth atau Luth, 4, disahkan menghidap high grade glioma tahap empat iaitu sejenis tumor yang ‘hinggap’ di kepala.

Penyakit ini juga merupakan antara penyakit paling jarang dijumpai di dalam dunia.

“Saya memang sudah mengenali Luth sejak kecil lagi. Dia pun lebih kurang usia anak saya dan pastinya apa yang berlaku membuatkan saya terpanggil untuk mencari dana membantu dia mendapatkan rawatan sewajarnya untuk kembali pulih.

“Hati siapa yang tidak luluh apabila melihat kanak-kanak ceria tiba-tiba jatuh sakit. Paling menghibakan apabila penyakit tersebut jarang dijumpai dan amat sukar untuk diberikan rawatan,” kata Anzalna.

Bukan itu sahaja, Anzalna juga mengenali ibu kepada Luth iaitu Hazirah yang juga merupakan teman rapatnya.

Hazirah yang juga seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak sudah banyak mengeluarkan wang simpanan untuk sesi rawatan sejak didiagnos pada 31 Januari lalu.

“Memang dia sudah menjalani pembedahan dan rawatan susulan termasuklah radioterapi dan kemoterapi. Namun keputusan ujian MRI baru-baru ini menunjukkan keputusan yang kurang memberangsangkan.

Iklan

“Paling menyedihkan apabila doktor memaklumkan kes yang berlaku kepada Luth amat jarang berlaku dalam dunia terhadap kanak-kanak.

“Hanya 10 peratus sahaja mampu bertahan dan peluang untuk hidup hanya satu tahun sekiranya tidak mendapat rawatan,” katanya yang berharap dapat mengumpulkan sejumlah dana bagi membawa Luth mendapatkan rawatan di luar negara.

Iklan

Terkini keadaannya semakin lemah dan dia perlu segera di bawa berjumpa dengan doktor pakar di United Kingdom (UK) memandangkan hanya mereka yang mempunyai kepakaran mengendalikan penyakit sebegini.

“Dengan rendah hati dan keprihatinan rakyat Malaysia, saya yakin kita mampu mengumpulkan dana yang diperlukan. Hari ini mungkin mereka diuji, dugaan untuk kita belum tentu lagi. Semoga usaha kecil kita semua mampu menyelamatkan nyawa Luth,” katanya lagi. Sumbangan boleh diberikan secara terus melalui laman web https://bantuan.hollow-web.com.