SELEPAS kejadian hitam dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah hampir setahun lalu, sekali gus mencalarkan nama dan reputasinya dalam kerjaya seni, pelakon Niezam Zaidi mahu kembali bangkit.

Mengakui tidak mudah untuk mendapatkan semula kepercayaan orang ramai terhadap dirinya, Niezam tidak mengambil pendekatan untuk sentiasa bersikap positif dan hanya memandang ke hadapan dalam mengatur langkah baharu.

“Selepas peristiwa hitam itu berlaku, saya membuat keputusan untuk pulang ke kampung dan bersama keluarga untuk mencari ketenangan.

“Dalam tempoh itu saya sedar tentang banyak perkara dan sangat bersyukur keluarga sentiasa ada memberikan sokongan. Saya kini lebih mengutamakan keluarga berbanding perkara lainnya.

“Apa yang berlaku itu sangat pahit, tetapi saya percaya kepada qada dan qadar yang telah ditentukan dan pasti ada hikmah atas segala yang terjadi,” katanya yang selesa berulang-alik dari dari Ipoh ke Kuala Lumpur jika terlibat dengan penggambaran.

Tambah jejaka 30 tahun itu lagi, dia juga kini memilih untuk tidak begitu aktif di media sosial dan mengelakkan membaca komen-komen negatif yang boleh menjatuhkan semangat yang baru dibina.

“Saya tidak mahu orang kenal dengan kontroversi, sebaliknya biarlah dikenali dengan prestasi dan kerjaya saya. Bukan mudah untuk saya bangun semula daripada apa yang berlaku itu.

“Salah satu cara yang saya lakukan adalah dengan mengurangkan penggunaan media sosial buat sementara waktu dan hanya fokus pada kerja.

“Saya pernah berasa tertekan apabila berdepan dengan pelbagai kecaman negatif di media sosial. Walaupun hanya membaca dan tidak menyentuh saya secara fizikal, tetapi ia sangat mengganggu emosi dan mental saya,” katanya.

Tidak disenaraihitam

Dalam masa sama, pelakon yang mula dikenali dengan filem Budak Pailang itu lega apabila namanya tidak disenaraihitamkan pihak stesen televisyen (TV) mahupun produksi selepas kejadian tersebut.

“Pada mulanya saya fikir nama kena gam dengan stesen TV selepas kejadian hitam itu, tetapi apabila mendapat tahu perkara tersebut tidak berlaku, saya rasa sangat bersyukur,” jelasnya.

Iklan

Selain filem Giler Chaos, Niezam baru sahaja tampil dengan filem psycho thriller, Kan Cheong bersama Nora Danish dan Jay Iswazir yang kini sedang ditayangkan di Astro First.

Terharu dengan sokongan dan kata-kata positif yang diberikan kepadanya, anak kelahiran Ipoh itu mengakui kembali bersemangat untuk bangkit dan bekerja seperti biasa.

“Apabila dengar komen-komen positif yang beri kata semangat untuk saya terus berada dalam industri, saya kembali rasa kuat.

Iklan

“Apa yang terjadi sebelum ini adalah pengalaman yang sangat berharga buat saya. Saya tak salahkan sesiapa kerana inilah perjalanan hidup saya.

“Cuma nasihat saya, jika ada apa-apa yang berlaku dalam hidup kita, carilah keluarga, carilah semangat untuk kembali bangkit. Kita tak boleh halang orang nak cakap apa pun, tetapi hidup perlu diteruskan,” akhirinya.