Apabila manusia dan robot berkawan baik, Ron's Gone Wrong mencuit hati
INDUSTRI panggung wayang kembali rancak sejak awal bulan ini dengan tayangan-tayangan filem dari luar negara.
Minggu ini, filem Ron’s Gone Wrong terbitan 20th Century Studios dan Locksmith Animation, mula menemui penonton di pawagam sejak 21 Oktober lalu.
Filem animasi itu arahan Sarah Smith dan Jean-Philippe Vine dan pengarah bersama, Octavio Rodriguez dibintangi nama besar seperti Zach Galifianakis (meminjamkan suara untuk watak B-Bot bernama Ron), Jack Dylan Grazer (Barney Pudowski), Olivia Colman (Donka Pudowski), Ed Helms (Graham Pudowski), Justice Smith (Mark Weidell), Rob Delaney (Andrew Morris), Kylie Cantrall (Savannah Meades) dan Ricardo Hurtado (Rich Belcher).
Ron’s Gone Wrong secara ringkasnya mengisahkan dunia pada masa depan apabila kanak-kanak dan remaja didampingi B-Bot atau robot pintar pelbagai fungsi.
Robot tersebut diklasifikasikan sebagai sahabat sejati atau ‘BFF’ yang boleh menghiburkan pemiliknya dan seperti pembantu peribadi.
Boleh dikatakan, hampir semua kanak-kanak dan remaja memiliki B-Bot kecuali Barney Pudowski, seorang nerd yang mempunyai masalah asma dan tiada kawan baik.
Bapa Barney, Graham berusaha untuk membeli B-Bot sempena hari jadi anaknya itu, namun kekangan kewangan membuatkan Graham mendapatkan B-Bot dengan cara salah.
Dalam keterujaan Barney mendapat B-Bot baharu, dia menyedari bahawa ‘rakan baik di luar kotak’ itu mempunyai masalah kerana tidak berfungsi seperti robot lain.
Ketika dalam proses untuk memulangkan semula robot tersebut, Barney menyedari B-Botnya itu berbeza dan mengambil keputusan mengajar robot bernama Ron itu.
Pada pandangan penulis, Ron’s Gone Wrong adalah sebuah filem yang banyak membawa mesej positif dan realiti tentang kehidupan masa kini.
Tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun akan datang, namun dapat kita lihat pada hari ini pelbagai lapisan masyarakat mula ketagih dengan gajet.
Biarpun hidup dalam keluarga susah atau sederhana, ada yang sanggup berusaha mendapatkan peranti teknologi terkini walaupun harganya melebihi kemampuan.
Itulah yang cuba diterjemahkan oleh penulis skrip Peter Baynham dan Sarah Smith. Mereka cuba memperlihatkan apa kesannya apabila orang tidak lagi berinteraksi dengan manusia, sebaliknya memilih untuk berkawan baik dengan gajet.
Walaupun cerita itu seperti disusun untuk kanak-kanak, namun orang dewasa juga pasti terjentik dengan jalan cerita filem ini.
Pastinya penonton akan terhibur dengan B-Bot bernama Ron yang kelihatan seperti seorang budak yang naif tetapi cepat belajar untuk menghiburkan pemiliknya.
Babak yang paling penulis ingat tentu sekali ketika Ron belajar menyanyi dan menari bersama nenek Barney dengan lirik lagu ‘diki diki daka’.
Banyak lagi babak-babak yang mencuit hati ditonjolkan dalam Ron’s Gone Wrong dengan hasil animasi yang cukup kemas dan berwarna-warni.
Secara keseluruhannya bagi penulis, filem itu cukup menarik untuk ditonton, terutamanya bersama seisi keluarga pada hujung minggu ini.
Bintang : 4/5
##Psst... Dapatkan akhbar Sinar Harian untuk menyertai peraduan istimewa filem ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang