SETELAH berdepan pelbagai ujian dan kesukaran hidup sepanjang 2020, penyanyi yang kini kembali membuat penampilan semula dalam industri muzik, Ashira Aziz, mengharapkan sinar baharu untuk tahun 2021.

Menghitung hari menunggu detik tahun baharu menebar salam, Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 34, berkata, banyak perancangan seninya diatur pada tahun hadapan.

Tidak mahu menoleh ke belakang, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Di Ombak Resah itu bersyukur diberikan peluang kedua dalam bidang seni selepas menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.

“Alhamdulillah bersyukur sangat dengan rezeki ALLAH bagi menerusi GV7 dan tentunya saya akan gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin.

“Saya tidak mahu kembali kepada kehidupan sukar yang pernah dilalui sebelum ini dan berharap agar ada sinar baharu menanti.

“Jujurnya saya tidak sabar menantikan tahun 2021 kerana mahu memulakan kembali kerjaya dan membina hidup lebih baik bersama anak,” katanya.

Sebagai permulaan, kata ibu tunggal kepada seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi, 14, dia kini dalam usaha mendapatkan sebuah rumah selepas beberapa bulan menumpang di rumah kakaknya dan terpisah dengan anak.

“Mungkin ramai dah tahu, sebelum menyertai GV7, saya kena keluar dari rumah sewa kerana gagal menjelaskan bayaran sehingga menyebabkan saya dan anak terpaksa tinggal berasingan buat sementara.

“Jadi sekarang saya dalam usaha cari rumah untuk kami berdua dan kembali hidup macam dulu.

“Doakan agar usaha itu dipermudahkan dan setelah semuanya selesai barulah senang untuk saya menumpukan perhatian kepada kerjaya seni serta segala perancangan lain selepas itu,” akuinya.

Kental berdepan netizen

Berkongsi perancangan seninya selepas ini, kata Ashira, jika semuanya berjalan lancar, dia bakal tampil dengan sebuah single baharu tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH jika ada rezeki, single tersebut akan dihasilkan pada tahun hadapan. Semuanya masih di peringkat awal perbincangan, namun saya harap ia tidak mengambil masa terlalu lama.

“Sewaktu mula mendapat tahu bakal menghasilkan single, perasaan saya bercampur baur antara teruja dan gementar kerana sudah hampir 20 tahun tidak merakamkan lagu baharu.

“Kali terakhir saya tampil dengan album Jatuh Cinta & Hati yang diterbitkan pada tahun 2002 dan selepas itu saya hanya menyanyi di kelab sahaja.

“Saya percaya proses rakaman lagu di studio dulu dan sekarang juga sudah tidak lagi sama dengan penggunaan teknologi digital dan sebagainya,” ujar Ashira yang berhasrat memasukkan elemen muzik masa kini dalam single terbaharunya itu nanti.

Dalam pada itu, Ashira berkata, dia turut bersedia mencuba bidang baharu termasuk lakonan jika diberikan peluang mengembangkan bakatnya.

Ashira percaya pengalaman baharu dalam bidang berbeza bakal memberi kelebihan kepadanya dalam mengembangkan kerjaya seni selepas ini.

Iklan

“Kalau ikutkan saya tidak minat berlakon, tetapi ramai yang menggalakkan saya mencuba bidang lakonan kerana percaya saya ada bakat berlakon.

“Insya-ALLAH jika ada tawaran, saya sedia mempertimbangkannya dan bagi peluang kepada diri sendiri untuk buat benda baharu,” katanya.

Pun begitu, Ashira mengakui, kembali aktif dalam bidang seni secara tidak langsung bererti dia kembali berdepan dengan perhatian umum.

“Setelah sekian lama hidup jauh daripada perhatian orang, sekarang saya kembali berdepan dengan situasi tersebut yang tentunya menuntut saya untuk lebih kental.

“Berbanding dulu, saya kini lebih matang untuk melalui perkara-perkara seumpama ini, cuma apa yang menakutkan, netizen sekarang jauh lebih ‘berani’ berbanding dulu.

Iklan

“Memang boleh terduduklah, bila mereka dah mula menyerang kerana pendekatan yang digunakan kadang-kadang agak melampau dan tidak masuk akal.

“Perkara kecil pun boleh jadi besar sehingga dikaitkan dengan keluarga dan maruah diri semua.

“Apa pun, setakat ini saya selebih selesa untuk tidak membaca atau mengambil tahu kecaman-kecaman yang dilontarkan dan biarkan ia berlalu begitu sahaja,” akhirinya.

 

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)