WALAUPUN baru dua tahun beroperasi, stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV berjaya meletakkan tanda aras baharu sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan sebagai destinasi utama pilihan rakyat Malaysia.

Stesen televisyen itu berjaya merangkul anugerah ‘Best In Consumer Satisfaction’ bagi kategori televisyen percuma MCMC Star Rating Awards 2021 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang diadakan secara tertutup pada 21 Disember lalu.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital; Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital; Datuk Seri Mohammad Mentek serta Ketua Pegawai Operasi SKMM; Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus kepada Awesome TV sebagai pengiktirafan terhadap kepuasan pengguna untuk perkhidmatan cemerlang yang ditawarkan oleh Awesome TV kepada rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak menerima anugerah tersebut bagi pihak Awesome TV.

Mengulas lanjut mengenai anugerah yang diterima, Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, sebagai pembekal kandungan hiburan tanah air, pihaknya amat gembira dengan pengiktirafan cemerlang yang diberikan oleh pihak SKMM dan menyifatkan ia sebagai sebuah penghormatan yang cukup membanggakan.

“Anugerah ini membuktikan segala usaha keras dan komitmen berterusan Awesome TV selama ini berjaya memberi kepuasan kepada segenap lapisan masyarakat terhadap perkhidmatan dan kandungan berkualiti yang ditawarkan oleh kami.

Iklan

“Kami ingin mengucapkan syabas kepada pihak SKMM di atas penganjuran majlis penganugerahan seumpama ini kerana ia dapat menyemai budaya persaingan yang sihat dalam kalangan pemain industri.

Iklan

“Pengiktirafan yang diberikan pastinya berfungsi sebagai faktor pendorong yang dapat menyuntik semangat kepada stesen televisyen seperti Awesome TV untuk terus memberikan perkhidmatan yang produktif dan inovatif untuk dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Untuk rekod juga, Awesome TV telah berjaya mencatatkan jumlah tontonan terkumpul yang melonjak sehingga 2.6 bilion sejak stesen ini mula beroperasi pada tahun 2020 sehingga kini.