Azrel Ismail akui masih laku, atur strategi untuk kekal relevan
SEMAKIN matang dalam merencana kerjaya seninya, pelakon Azrel Ismail mengakui hidupnya kini lebih tenang tanpa sebarang gosip yang melingkari.
Biarpun namanya kini agak jarang diperkatakan, apatah lagi dengan kehadiran ramai hero baharu, selebriti 38 tahun itu berkata, dia sentiasa tahu hala tujunya dalam industri.
“Seawal kemunculan dalam industri dulu, nama saya sering diperkatakan kerana terpalit gosip cinta dengan beberapa pelakon wanita. Bukan saya yang cipta, tetapi ia berlaku tanpa disedari.
“Ketika itu saya okey sahaja kerana menganggap ia adalah lumrah bergelar artis. Namun lama-kelamaan saya mula fikir, takkan orang nak ingat saya disebabkan gosip semata-mata.
“Jadi saya tetapkan diri untuk fokus seratus-peratus pada kerjaya. Media sosial pun saya jarang kemas kini untuk berkongsi hal-hal bersifat peribadi, sebaliknya hanya untuk perkara yang saya fikir perlu sahaja,” katanya kepada SinarPlus.
Bagaimanapun, bintang drama Korban Kasih itu berkata, ada pula peminat dan sesetengah pihak yang salah faham dan menganggap kerjaya seninya semakin merudum dan namanya sudah tidak laku sebagai hero.
Hakikatnya kata Azrel, tawaran melakonkan watak utama masih diterima seperti biasa, cuma disebabkan kesibukan berturut-turut di lokasi penggambaran menyebabkan dia terpaksa bersikap selektif.
“Ada peminat bertanya tentang perkara itu ketika saya membuat sesi live di Instagram. Saya tidak terkejut dengan pertanyaan itu kerana sedar publisiti tentang kerjaya saya memang agak berkurangan berbanding dulu.
“Alhamdulillah saya masih lagi aktif dalam industri dan diberikan banyak peluang baharu untuk terus mengembangkan bakat, cuma saya akui jarang berkongsi perkembangan itu dengan peminat di media sosial.
“Saya ada strategi sendiri dalam merencana kerjaya seni. Seiring dengan kematangan usia dan pengalaman dalam industri, semestinya saya perlu menampilkan sesuatu yang lebih bagus berbanding sebelumnya,” katanya.
Lakonan pentas
Dalam pada itu, pelakon kelahiran Taiping, Perak itu juga kini mula berjinak-jinak dengan lakonan pentas apabila terlibat dengan pementasan teater.
Selepas penampilan pertama menerusi Muzikal Putri Santubong, The Princess Warrior yang dipentaskan pada Disember tahun lalu, Azrel sekali lagi bakal beraksi menerusi teater Maduku Terpaling Kalut.
Teater yang menyaksikan gandingannya bersama Anna Jobling dan Puteri Sarah itu akan dipentaskan pada 29, 30 September dan 1,2 Oktober depan di di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).
“Selepas terlibat dalam pementasan Muzikal Putri Santubong, The Princess Warrior, minat saya kepada lakonan pentas semakin bercambah. Rasa seronok kerana berlakon live dan mendapat respon penonton pada ketika itu juga.
“Saya belajar banyak benda baharu dalam lakonan menyebabkan saya teruja nak buat lagi dan lagi.
“Jadi saya harap peminat dapat memberikan sokongan dengan datang menonton teater ini apabila dipentaskan nanti,” katanya.
(FOTO: ZAMAN)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang