KUMPULAN rock legenda, Search yang kini dibarisi Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Minn (dram) dan penyanyi baru mereka dari Indonesia, Denden Gonjalez akhirnya bergabung buat pertama kali dalam Konsert Search Rocking On Rooftop.

Konsert tersebut akan berlangsung di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11 Jun ini jam 9 malam.

Walaupun lokasi atas bumbung bukanlah asing dalam beberapa penganjuran konsert artis tempatan sebelum ini, namun apa yang bakal diketengahkan Search ada keistimewaan tersendiri.

Noordin yang mengilhamkan konsert itu berkata, ia juga bakal menampilkan kelainan terutama dari segi bunyian, pencahayaan, rekaan pentas dan pemilihan lagu.

“Kami akan membawakan 14 hingga 17 lagu. Apa yang menarik adalah seleksi lagu yang jarang-jarang dan tidak pernah dimainkan Search dalam konsert-konsert sebelum ini.

“Search ada banyak lagu dan peminat juga minta mainkan macam-macam lagu.

“Jadi, kali ini kami nak kelainan. Kami juga nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia,” katanya.

Bukan sahaja pemilihan lagu, rekaan pentas konsert berkenaan juga berbeza.

Noordin berkata, pentasnya tidak berbumbung dan tidak ada backdrop, sebaliknya penonton dihidangkan dengan panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

Iklan

“Itulah backdrop pentas kami. Pastinya ia memberi impak menarik terutama dari segi fotografi dan visual,” jelasnya.

Selain itu, kehadiran Denden, Yan dan Minn juga bakal memberikan arah muzik dan ‘sound’ yang lebih segar daripada Search.

Bukan itu sahaja, Konsert Search Rocking On Rooftop bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan.

Iklan

Tiket-tiket konsert berharga RM88, RM198 dan RM298 masih boleh didapati di Search Rock Station, Kompleks Campbell.

Bagaimanapun, tiket berharga RM88 sudah habis dijual.

Tiket juga boleh dibeli secara atas talian menerusi laman web www.fenomenasearch.com.