PELAKON baharu yang sedang meningkat naik, Farhan Asri mengejutkan pengikut Instagramnya apabila berkongsi gambarnya yang sudah dikafankan.

Bagaimanapun Farhan, 23, menjelaskan foto yang dimuat naik itu hanyalah salah satu babak dalam drama bersiri Menantu Tok Sintok yang dilakonkannya.

Jelas Farhan, dia berkongsi gambar tersebut kerana berasa insaf melihat diri sendiri dikafankan.

“Kematian bukan satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh kita semua. Namun mati itu pasti dan ia kekal menjadi rahsia Allah.

“Beginilah agaknya rupa wajah terakhir saya sebelum ke negara abadi. Perasaan sedih, tergamam, gemuruh, takut, gementar dan macam-macam lagi bermain di fikiran semasa penggambaran drama Menantu Tok Sintok.

“Agak takut jugalah bila ada babak dikafankan. Watak Badrol yang saya bawakan ini benar-benar memberi iktibar dan keinsafan.

Iklan

“Gila tak insaf bila tengok diri sendiri dikafankan. Jujur cakap saya belajar banyak benda dalam drama ini seperti memandikan, mengkafankan jenazah mahupun mengali kubur,” ujarnya menerusi Instagram miliknya.

Tambah Naib Juara Hero Remaja 2017 itu, dia berasa bersyukur dan bertuah kerana menjadi sebahagian daripada drama tersebut kerana secara tidak langsung telah menjentik hatinya supaya tidak terus leka.

Iklan

“Saya bersyukur Allah bagi saya rezeki ini. Sedikit sebanyak Dia jentik hati saya supaya tak terus leka. Saya juga timba satu pengalaman baru yang tak pernah saya bayangkan dan tak mudah untuk dilakukan sebab pikul tanggungjawab berat kali ini.

“Terima kasih kepada penerbit Datuk A. Aida sebab beri kepercayaan dan tidak dilupakan pengarah hebat Lizam Togel (Ujang) sebab selalu mencabar saya jadi lebih baik serta krew produksi yang sporting dan terbaik,” katanya.