HASRAT pelakon dan pelawak Bell Ngasri menunaikan umrah buat kali kedua bakal menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran untuk menyertai rombongan umrah bersama selebriti pada bulan Ramadan akan datang.

Menurut Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 42, ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu, dia ada memasang niat untuk mengerjakan umrah.

“Saya memang teringin sangat nak mengerjakan umrah buat kali kedua. Malah, ketika PKP lalu, saya telah niatkan dalam hati jika perjalanan untuk ke luar negara dibenarkan, saya mahu ke Tanah Suci.

“Jadi apabila mendapat tawaran untuk mengerjakan umrah daripada Syabibah Travel & Tours pada bulan Ramadan ini, saya rasa sangat terharu sehingga menitiskan air mata.

“Memang tak sangka dapat rezeki sebegitu dan impian mengerjakan umrah lagi bakal jadi kenyataan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media baru-baru ini.

Selain Bell, selebriti seperti Faizal Ismail, Saharul Ridzwan dan Zulin Aziz juga akan menyertai program umrah tersebut sempena Ramadan pada April depan.

“Saya akan berada di Tanah Suci selama tujuh hari pada minggu terakhir Ramadan. Insya-ALLAH saya juga akan bawa isteri ke sana.

“Doakan agar perjalanan dan urusan kami mengerjakan umrah dipermudahkan. Selamat pergi dan balik.

“Walaupun kes Covid-19 masih lagi tinggi ketika ini, saya percaya semua urusan dilakukan dengan pematuhan SOP ketat. Jadi kita berserah segala pada ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, Bell yang juga merupakan bapa kepada tiga anak itu, mengakui risau apabila sering dikaitkan sebagai ‘muka tidak berpuasa’ setiap kali menjelang Ramadan.

Gelaran itu diberikan kepadanya gara-gara watak Barkoba yang dijayakan dalam tiga telefilem komedi arahan Allahyarham Mamat Khalid berjudul 16 Puasa, 17 Puasa dan 19 Puasa.

Iklan

“Ketika menerima watak itu dulu, tak terfikir pun akan beri kesan seperti ini. Saya hanya berlakon dan buat kerja yang diamanahkan.

“Tak sangka pula gelaran itu melekat sampai sekarang sehinggakan setiap kali tiba Ramadan, muka saya akan dijadikan ikon orang tak berpuasa pula.

“Perkara ini agak merisaukan, tetapi saya tak boleh buat apa-apa kerana itu adalah kesan daripada watak yang dilakonkan,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbaru, Bell bakal tampil dengan filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali, yang akan ditayangkan di saluran Astro First pada 3 Mac ini.

Iklan

Menariknya, naskhah tersebut mendapat sentuhan terakhir Allahyarham Mamat Khalid dan disempurnakan oleh anaknya Amen Khalid.

“Alhamdulillah filem ini akan menemui penonton pada 3 Mac ini dan saya harap penonton menyukainya.

“Walaupun diarahkan oleh anak arwah, tetapi naskhah ini memang daripada Allahyarham Mamat Khalid sendiri, malah pasukan produksi juga terdiri daripada orang yang sama,” katanya.