PELAKON dan penyampai radio Sinar, Siti Elizad meluahkan rasa kesal dan sedih apabila dituduh mandul oleh pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab.

Jika sebelum ini Elizad jarang melayan komen-komen negatif netizen, namun tuduhan dan kata-kata biadap yang dilemparkan individu terbabit disifatkan agak keterlaluan untuk dirinya.

“Saya jarang melayan komen-komen bodoh macam ni. Tapi bila awak menggunakan perkataan mandul, ia sangat menyakitkan saya.

“Awak Tuhan ke, tahu saya ni mandul ke tak, boleh beranak ke tak? Menggigil, terketar tangan ni. Jantung rasa nak tercabut.

“Sedih teramat sangat. Awak suka ke kalau tengok saya ni bercerai-berai sebab saya belum ada zuriat,” soal Elizad.

Kekecewaan itu diluahkan Elizad, 37, menerusi laman Instagram miliknya hari ini dan mengakui terlalu sedih dengan dengan kenyataan pihak terbabit.

“Saya menangis ketika menulis luahan ini. Awal tahu ke saya ni solat ke tak? Pernah kerjasama dengan saya ke? Bersedekah, bangun solat malam, mengaji, pakai telekung, atas sejadah, segala amalan perlu dimuatnaik di media sosial ke?

“Lain orang lain caranya. Saya tak perlukan perhatian sebegitu. Saya gembira dengan kehidupan ini. Dapat anak atau tidak, itu kerja Allah.

“Cuma tiada siapa boleh cakap mandul pada saya,” luahnya.

Dalam pada itu, pelakon Syurga Yang Kedua itu turut menjelaskan bagaimana dia berusaha keras untuk mendapatkan zuriat.

“Awak tahu tak, saya struggle macam nak mati untuk dapatkan zuriat sendiri. Hari-hari dalam solat menangis minta pada Allah jangan biarkan saya keseorangan tanpa zuriat. Menangis kecewa sebab tak ada peneman umur dah mcm ni.

Iklan

“Saya ni bertahun berjumpa segala doktor pakar, pergi seluruh pelusuk tempat untuk berubat. Cucuk sana sini, sakit tahu tak. Awak senang-senang cakap saya mandul.

“Apa saya rasa, keluarga saya rasa? Orang yang tahu dan nampak saja saya bersusah payah berulang-alik, tahan sakit nak dapatkan anak,” katanya.

Memandang serius perbuatan individu terbabit, Elizad telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil, pada Rabu.

“Jarang saya amik kisah dan tak maafkan orang, tapi bukan untuk kali ini. Luluh hati ini, sedih sangat-sangat. Tuhan saja tahu.

Iklan

“Saya sudah buat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil. Terima kasih Koperal Farhana dan semua anggota polis yang membantu, termasuk Inspektor William di Balai Polis Sungai Besi.

“Buat abang yang bela saya dalam video tanpa saya kenali anda, terima kasih banyak-banyak. Begitu juga pada mereka yang sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat buat saya.

“Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala kata-kata dan kebaikan anda,” kata Elizad yang menyerahkan perkara tersebut kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.