BINTANG The X-MEN : Apocalypse, Olivia Munn mengesahkan dirinya kini menghidap kanser payudara.

Berita duka itu dimuat naik menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya.

Menerusi hantaran berupa sekeping foto itu, kelihatan dirinya sedang terbaring di atas katil hospital untuk menjalani rawatan.

“Saya didiagnosis dengan kanser payudara dan berharap dengan perkongsian ini akan membantu orang lain mencari inspirasi dan sokongan dalam proses penyembuhan mereka,” katanya.

Sebelum pengumuman itu dibuat, beliau dikatakan menghadiri Anugerah Akademi (Oscar) bersama pasangannya, John Mulaney.

Wanita berusia 43 tahun itu turut mendedahkan yang dirinya pernah melakukan pemeriksaan kesihatan pada Februari 2023 dalam usaha untuk menjadi proaktif sebelum disahkan kanser payudara.

“Saya mengambil ujian genetik yang memeriksa 90 gen kanser yang berbeza dan keputusan negatif untuk semua termasuk BRCA (gen barah payudara).

“Bagaimanapun, selepas menjalani mamogram biasa dan dua bulan kemudian saya disahkan menghidap kanser payudara,” ujarnya.

Olivia Munn atau nama penuhnya Lisa Olivia Munn, telah menjalani empat pembedahan dalam tempoh 10 bulan yang lalu, termasuk mastektomi berganda.

Iklan

“Malah biopsi menunjukkan saya menghidap kanser Luminal B di kedua-dua payudara. Luminal B ialah kanser yang agresif dan bergerak pantas,” katanya.

Berikut SinarPlus kongsikan beberapa gejala kanser payudara:

1. Tanda paling biasa kanser payudara ialah ketulan.
2. Jika ketulan itu tidak sakit, keras dan tidak sekata berkemungkinan besar kanser.
3. Ada juga ketulan kanser yang sakit, lembut dan berbentuk bulat.

Iklan

4.Oleh itu sangat penting berjumpa doktor segera apabila ada pembengkakan atau ketulan di payudara.

5. Bengkak pada sebahagian payudara
6. Kulit jadi berkedut seperti kulit limau
7. Puting masuk ke dalam atau sakit
8. Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara
9. Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu.
10. Ketulan pada bahagian ketiak.

Sumber : Portal MyHealth