PENYANYI popular Black Hanifah menzahirkan rasa lega dengan tahap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan oleh pihak sekolah anaknya.

Black, 34, memberitahu mengenai reaksi anaknya Khaleef Dayyan yang kini sudah kembali belajar secara fizikal di sebuah taska swasta di ibu kota baru-baru ini.

Meskipun berasa berat hati untuk melepaskan anak lelakinya Dayyan, 6, kembali ke sekolah bagi pendidikan pra sekolah, Black bagaimanapun yakin dengan tahap kepatuhan sekolah terhadap SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kalau tanya saya, saya memang takut kerana virus Covid-19 masih belum benar-benar reda.

“Tetapi, pendidikan anak juga penting kerana tahun depan Dayyan akan memasuki tahun satu. Jadi penting buatnya belajar membaca, menulis dan mengeja dari sekarang,” katanya kepada SinarPlus.

Penyanyi lagu Hanyut itu turut gembira melihat perubahan Dayyan yang kini sudah mampu menulis, membaca dan mengeja setelah mendapatkan pendidikan pra sekolah sejak tiga minggu lalu.

Sementara itu, Black turut mengharapkan agar individu yang masih tidak menerima suntikan vaksin perlu mempertimbangkan semula keputusan mereka.

“Saya akui perkara ini agak sensitif untuk dibahas. Tetapi, jika kita perlu ambil suntikan ini untuk bekerja dan sekiranya tidak berbuat demikian akan menyebabkan kehilangan pendapatan.

Iklan

“Itu akan mendatangkan kemudaratan di kemudian hari. Bagi saya, saya ambil kerana ini bukan sahaja melihatkan soal pendapatan, tetapi keselamatan.

“Kita perlu mempunyai rasa tanggungjawab kepada keluarga dan ini juga merupakan tanggungjawab kepada masyarakat,” jelasnya panjang lebar.

Black atau Hanifah Hanafiah mendirikan rumah tangga dengan Naquia Yasirah pada 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Dayyan dan Rindu Dayyana.

Iklan

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram