IKON Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Inteam telah berlepas ke Syria bagi menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk siri ke-10 pada 14 Februari lalu.

Lebih menarik, Inteam yang diwakili Hazamin, Rahim dan Syahril akan melancarkan kempen Cabaran 12 Jam Syria pada hari ini, di mana mereka akan cuba tinggal di dalam sebuah khemah di kem pelarian yang terletak di wilayah utara Syria dan merasai sendiri suasana cuaca yang sejuk di sana.

“Cabaran 12 jam ini adalah inisiatif bersama antara Pertubuhan Peduli Insan Malaysia dan Inteam untuk berkongsi secara telus dan terus tentang realiti kehidupan sebagai seorang pelarian di sana.

“Kami difahamkan, cuaca di sana boleh mencecah bawah 0 darjah celcius dan mereka ini hanya tinggal di dalam khemah yang didirikan dengan kanvas.

“Cabaran itu akan bermula dari jam 11 pagi waktu Malaysia dan kami akan bersiaran langsung di Facebook rasmi Inteam bagi mengumpul dana sebanyak RM1,000,000,” kata Hazamin ketika ditemui sebelum bertolak ke Syria, pada Isnin.

Misi Inteam ke Syria turut disertai dua wakil daripada Pertubuhan Peduli Insan.

Bagaimanapun seorang lagi anggota kumpulan itu, Hisyam tidak dapat turut serta atas komitmen kerja.

Ujar Syahril pula, dana yang diperolehi nanti akan disalurkan terus di dalam bentuk bantuan berupa bakal makanan, set hidangan panas, alat pemanas serta bahan bakar, set pakaian misum sejuk dan selimut tebal kepada 100,000 pelarian Syria.

“Insya-ALLAH sesi siaran langsung itu nanti akan turut disertai beberapa selebriti tanah air seperti Dr Fitri Haris, Mawi, Alif Teega, Aisyah Hijanah, Hafiz Hamidun, Fedtri Yahya dan beberapa tokoh ternama.

“Kami harap orang ramai yang menyaksikan siaran langsung itu nanti boleh kongsikan perkara itu menerusi sosial media masing-masing.

“Harapnya kalau ada 100,000 yang menonton, setiap seorang menyumbang RM10, kita mampu capai sasaran kutipan itu,” jelasnya.

Komen toksik

Dalam pada itu, ditanya mengenai komen negatif dan pandangan skeptikal sesetengah pihak yang memperlekehkan usaha Inteam menghulurkan bantuan di luar negara, Hazamin berkata, membantu ini luas konsepnya.

Iklan

“Kami tak nafikan tidak lari daripada komen-komen sebegitu. Tetapi bagi saya mudah sahaja, kalau nak membantu, bantu orang yang paling hampir dengan kita iaitu keluarga.

“Kemudian jiran, orang kampung, negara dan orang luar. Tetapi takkan setiap kali membantu kami nak cerita.

“Lagipun setiap orang ada kepakarannya, ada yang bantu mualaf, ada yang bantu gelandangan. Pertubuhan Peduli Insan pun pernah juga bantu masa banjir.

“Jadi kita perlu bersatu-padu menghulurkan bantuan kerana di Syria itu juga adalah saudara seagama kita. Seeloknya kita ketepikan komen yang toksik dan bantu setakat mana yang mampu,” jelasnya.

Iklan
Inteam (dari kiri : Syahril, Rahim dan Hazamin) turut merancang untuk merakamkan muzik video single terbaharu mereka, Selimut Kasih, yang akan membawakan keadaan terkini di Syria.

Sementara itu, Rahim berkata, mereka akan berada di Syria selama empat hari dan bakinya nanti akan digunakan untuk merakamkan beberapa kempen dari Peduli Insan serta muzik video Selimut Kasih.

“Lagu terbaharu Inteam, Selimut Kasih akan dilancarkan di semua platform digital bermula Jumaat dan kami akan rakam muzik video di sana.

“Harapnya muzik video nanti akan dapat membuat rakyat Malaysia merasai suasana di sana,” katanya.