SELAIN aktif sebagai penyanyi dan penerbit lagu, penglibatan Cat Farish sebagai pelakon turut menyumbang kepada populariti dirinya.

Namun semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, kelibatnya di layar lebar, mahupun kaca TV tidak lagi kelihatan sehingga ramai yang menyangkakan Cat tidak lagi berminat dengan dunia lakonan.

Menyangkal dakwaan tersebut, Cat atau nama sebenarnya Farrish Zaquan, 47, berkata, dia tidak pernah meninggalkan bidang lakonan, cuma mungkin peluang untuk berada di depan kamera tidak lagi datang seperti dulu.

“Saya sebenarnya tak pernah berhenti berlakon. Cuma saya jarang muncul kerana orang jarang panggil atau mungkin juga orang orang dah lupakan saya.

“Kalau dulu saya bersama MIG dan banyak tawaran datang melalui mereka. Jadi bila tidak lagi bersama, mungkin orang susah nak cari saya.

“Jujurnya saya memang rindu nak kembali berlakon macam dulu dan hasrat itu jadi kenyataan apabila Suhan Movies menawarkan saya untuk membintangi drama Cik Ayu Mee Sanggul yang kini sedang ditayangkan di Astro Ria,” ujarnya.

Dalam pada itu, penampilan Cat dalam drama tersebut yang memegang watak sebagai Hamzah mencuri tumpuan ramai apabila kelihatan agak kurus berbanding bentuk badan sebelum ini sehingga ramai yang menyangkakan, bapa kepada tiga anak itu sedang sakit.

Akui Cat, berat badannya turun sehingga 73 kilogram selepas dia menjalani pembedahan bariatrik atas nasihat doktor beberapa tahun lalu.

“Sejak muncul dalam drama baharu ini, memang ramai yang bertanya kenapa saya nampak kurus sangat sehingga ada yang fikir saya sakit dan sebagainya.

“Masa gemuk dulu tak ada pula yang kata saya sakit, bila dah kurus ramai pula yang risau. Hakikatnya masa gemuk dululah saya ada pelbagai penyakit sehingga terpaksa membuat pembedahan bariatrik.

Iklan

“Apa pun saya bersyukur juga bila orang bertanya dan mengambil berat tentang saya. Dalam masa sama, saya juga gembira dapat kembali berada di depan kamera untuk berlakon macam dulu,” katanya.

Berkongsi aktiviti ketika Perintah Kawalan Pergerakan, Cat berkata, selain meluangkan masa bersama keluarga, dia kini dalam proses menyiapkan sebuah buku berjudul Bucu Kasar Pujangga.

Buku tersebut memuatkan lirik lagu ciptaannya, selain pengalaman yang dilalui sepanjang bergelar anak seni yang mempunyai kaitan dengan lagu itu.

Iklan

“Buku ini merupakan kompilasi lirik lagu dan pengalaman saya sepanjang bergelar anak seni ketika bersama Ruffedge, The Fabulous Cats, Tiga Swaggers serta ketika bergerak secara solo.

“Saya mula menulis buku ini sejak tiga bulan lalu dan kini sudah hampir 60 peratus daripadanya telah siap.

“Saya mendapat ilham menulis buku ini daripada seorang rapper, Tulang Kata, yang menghasilkan buku puisi dan dijual di Shopee. Dialah yang menggalakkan saya untuk menulis buku ini,” katanya.