MAHU meluangkan lebih masa bersama suami dan anak-anak, pelakon Catriona Ross memilih untuk memperlahankan kerjaya lakonannya sepanjang bulan Ramadan.

Mengakui sibuk menguruskan keperluan keluarga pada bulan penuh barakah ini, pemilik nama sebenar Catriona Norhayati Ross enggan kelam kabut dengan jadual padat di lokasi penggambaran.

“Ikutkan tawaran kerja, memang jadual akan penuh sepanjang masa. Namun saya memilih untuk memperlahankan kerjaya lakonan sepanjang Ramadan kerana mahu menumpukan perhatian pada keluarga.

“Sebagai ibu kepada tiga anak, memang saya agak sibuk sepanjang bulan puasa. Saya mahu pastikan segala keperluan mereka terjaga dan dapat menikmati bulan mulia ini dengan sebaiknya.

“Kalau sibuk di lokasi penggambaran, saya mungkin tak dapat menyediakan juadah berbuka puasa mahupun sahur untuk mereka. Tak dapat merasakan suasana Ramadan sepenuhnya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi raya jenama SugarScaft baru-baru ini.

Berkongsi tentang karenah anak-anaknya sepanjang Ramadan, bintang berdarah kacukan Melayu-Scotland itu berkata, masing-masing teruja menyambut bulan mulia ini.

Malah ibu kepada Sephia Rania; 13, Jammal Raess; 10, dan Edruce Riyadh; 8, seronok melihat mereka sudah mampu berdikari dan menguruskan diri sendiri.

“Alhamdulillah semuanya sudah pandai uruskan diri sendiri. Malah anak kedua yang merupakan seorang autism juga sudah boleh berdikari.

“Dia nak belajar puasa penuh, tapi buat masa ini hanya separuh hari sahaja. Jadi saya tetap sediakan makan tengahari untuk dia. Sekarang dia dah pandai kemas sendiri lepas makan,” tuturnya yang kini tampil dengan sitkom Apartment Putra di TV2.

Syawal Istimewa

Dalam pada itu, pelakon yang kini semakin menyerlah dengan sisi komedi menerusi karakter Kak Kek memaklumkan bakal menyambut 1 Syawal di negera kelahiran bapa tercinta, di Edinburgh, Scotland.

Mengakui tidak sabar bertemu bapa dan saudara-mara di sana, Catriona akan terbang ke negara itu pada tiga hari sebelum raya.

“Insya-ALLAH pada tahun ini saya akan bawa suami dan anak-anak ke Scotland untuk meraikan Aidilfitri bersama bapa dan keluarga di sana selama dua minggu.

Iklan

“Persiapan raya kami siapkan lebih awal agar tidak kelam kabut nanti. Saya sediakan lima pasang baju raya kerana mahu tunjukkan kemeriahan raya di sana nanti.

“Paling penting merakamkan momen istimewa dengan keluarga di sana dengan mengenakan baju raya kita,” katanya yang akan turut menyediakan juadah raya tradisi.

Tambah Catrional lagi, keputusan untuk beraya jauh di benua Eropah itu dibuat kerana mahu bersama-sama kekuarga sebelah bapanya yang lama tidak dikunjungi.

Iklan

“Kalau ada yang mempersoalkan kenapa saya memilih raya di sana, sedangkan mereka yang berada di perantaun teruja nak balik raya di tanah air, jawapannya adalah kerana bapa saya.

“Sejak ibu meninggal pada tahun 2013, bapa kembali ke Scotland. Jadi saya teringin untuk raikan Aidilfitri tahun ini bersama bapa dan keluarga di sana,” katanya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.