PENGACARA dan bekas penyampai radio terkenal, Linda Onn berkongsi berita duka kehilangan ibunya, Sa’diah Khamis yang meninggal dunia pada 9 Mac lalu.

Menerusi perkongsian yang dilakukan menerusi laman Instagram miliknya pada Khamis, Linda, 44, mengakui hanya selepas tiga minggu pemergian arwah ibunya, barulah dia mempunyai kekuatan untuk berkongsi berita tersebut.

Menurut Linda, arwah ibunya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun itu tidak mempunyai sebarang penyakit kronik, sebaliknya dilihat sihat dan aktif sehinggalah Allahyarham mengadu sakit perut dua minggu sebelum pemergiannya

“Setelah tiga minggu berlalu, baru ada sedikit kekuatan untuk saya post ni.

“Ibu tak ada sakit. Linda sangat jaga kesihatan ibu. Selama ini Linda takut kalau ibu sakit.

“Ibu tak ada sakit jantung, kencing manis, darah tinggi atau buah pinggang, ibu tak sakit! Ibu sihat sungguh! Malah ibu lebih sihat, kuat dan aktif daripada Linda. Tapi nak dijadikan asbab. Tiba-tiba ibu mengadu sakit perut.

“Mudah sungguh ibu pergi. Tak menderita lama. Dua minggu saja ibu sakit. Lepas itu ibu pergi selamanya,” tulisnya.

Menurut Linda, sehingga hari ini dia masih terkejut dan sukar mempercayai telah kehilangan ibunya itu.

“Cepat sangat ibu, rasa macam mimpi. Linda masih terkejut. Masih tak percaya. Ibu pergi begitu mudah, tapi Linda yang tinggal ini makan masa untuk terima ketiadaan ibu. Sakit ibu.

“Ibulah ibu, ibulah penasihat apa saja keputusan Linda, ibulah teman baik Linda, ibu yang beri kasih sayang suci dan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Ibu segala-galanya.

“Ibu tak pernah penat pesan dan nasihat Linda, ibu. InshaAllah Linda pegang semua nasihat ibu,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Linda turut menyifatkan dirinya bertuah apabila arwah ibunya memilih untuk tinggal bersamanya, malah turut berpeluang berada di sisi ibunya saat insan kesayangannya itu menghembuskan nafas terakhir.

“Terima kasih ibu kerana pilih untuk duduk serumah dengan Linda walaupun adik beradik lain berebut nak ibu. Banyak sungguh masa kita bersama ibu. Alhamdulillah.

“Terima kasih ibu kerana pilih Linda untuk lihat ibu dinafas terakhir ibu.

“Terima kasih ibu kerana jaga Linda daripada kecil sampai sekarang dan jaga Zara sejak lahir sampai usia tiga tahun dengan belaian kasih sayang.

Iklan

“Maafkan Linda Ibu. Ibu tiada pengganti. Rindu ini tiada berpenghujung, ibu,” luahnya yang turut memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat arwah ibunya.

 

(FOTO: Instagram Linda Onn)