SETELAH hampir setahun menyepi tanpa sebarang karya yang ditampilkan, penyanyi muda berbakat besar, Masya Masyitah kembali dengan single terbaharu berjudul Simpanan.

Tidak mahu tergesa-gesa menghasilkan sesuatu single, Masya atau penuhnya Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff, 22, mengakui tidak kisah untuk mengambil sedikit masa demi memastikan lagu yang ditampilkan ada kualiti tersendiri.

“Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa saya mengambil masa agak lama untuk muncul dengan lagu baharu.

“Sebenarnya saya tidak mahu menghasilkan terlalu banyak single dalam masa singkat, sebaliknya memilih untuk fokus pada sesebuah lagu itu sehingga betul-betul berjaya.

“Apabila dapat single yang bagus dan menepati apa yang saya inginkan seperti lagu Simpanan yang dihasilkan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan juga John Jeeves ini, barulah saya bersedia untuk kongsi dengan peminat,” katanya.

Single Simpanan yang bernuansa pop rancak dengan elemen muzik K-pop dan menjadi trend masa kini itu kedengaran segar dengan olahan berani menampilkan sisi dewasa Masya yang sebelum ini sinonim dengan lagu-lagu berentak balada.

Bercerita lebih lanjut tentang single terbitan Rocketfuel Entertainment itu, Masya berkata, ia diilhamkan daripada daripada kisah hidupnya sendiri.

“Secara kebetulan, kisah lagu ini pernah terjadi dalam hidup saya dan setelah menginjak dewasa, saya cuba beranikan diri untuk kongsikan dengan pendengar di luar sana.

“Bayangkan apabila mencintai seseorang, kita akan mempercayai individu tersebut dengan sepenuh jiwa. Namun di belakang, ternyata dia menduakan kita ibarat dijadikan ‘simpanan’.

“Jadi jalan yang terbaik adalah dengan berpisah dan meminta lelaki tersebut pergi daripada hidup kita buat selama-lamanya,” jelasnya.

Belajar menari

Tidak berdepan sebarang masalah sepanjang proses rakaman, anak kelahiran Kedah itu mengakui seorang yang sentiasa bersedia sebelum masuk ke studio, sekali gus memudahkan rakaman yang hanya mengambil masa selama 30 minit.

Iklan

“Sebagai seorang penyanyi, wajib bagi saya untuk memahami setiap pengkaryaan itu agar meresap ke dalam jiwa dan bila masa untuk menyanyikannya, saya akan berikan sepenuh hati.

“Abang Iqie dan Firdaus banyak memberi tunjuk ajar bagaimana hendak membawakan lagu ini dan kami tidak mengambil masa yang lama untuk buat rakaman,” katanya.

Dalam masa yang sama, juara Yippi Star Quest 2020 itu turut teruja membicrakan tentang muzik video (MV) Simpanan yang menampilkan konsep energetik dan menyaksikan dirinya menari buat pertama kali.

“Dalam MV kali ini, penonton berpeluang melihat saya menari dengan koreografi yang diaturkan oleh penari profesional.

Iklan

“Siapa yang mengenali saya, pasti tahu yang saya tidak mahir menari dan pada kali ini saya betul-betul mencabar diri dengan mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya sangat teruja dan amat berterima kasih dapat bekerjasama dengan team yang sangat menyokong dan profesional sehingga tidak merasa kekok untuk beraksi di hadapan mereka,” katanya yang mengharapkan single tersebut dapat diterima ramai.

(FOTO: ROCKETFUEL ENTERTAINMENT)