BERKAHWIN dan bergelar isteri kepada kerabat diraja bukanlah tiket buat Che Puan Juliana Sophie Johari Evans atau lebih dikenali dengan nama pentas Juliana Evans untuk duduk dan goyang kaki tanpa berbuat apa-apa.

Ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran stesen televisyen Awesome TV baru-baru ini, figura 33 tahun itu dilihat melangkah ayu tanpa iringan pengawal peribadi pun.

Beliau juga tidak putus-putus memohon maaf kerana terlewat hadir memandangkan perlu melunaskan tanggungjawab di set penggambaran pada waktu yang hampir serentak.

Tegas selebriti jelita tersebut, sejak mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Johor dan Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah al-Hajj pada 30 April 2017, hanya statusnya yang bertukar, namun beliau masih sama seperti dulu.

Meskipun ada yang beranggapan dirinya tidak perlu lagi untuk bersusah payah, anak kacukan Inggeris-Melayu itu mempunyai pandangan yang berbeza.

“Saya suka cari wang sendiri terutama apabila mengusahakan sesuatu yang saya minat. Berlakon dan mengacara adalah kecenderungan saya yang sukar untuk dilupa dan dibiarkan begitu sahaja.

“Sebenarnya tak adil untuk cakap saya dah tak perlu bekerja lagi. Tawaran yang yang diterima terlalu banyak dan tanpa henti. Justeru, jika dapat naskhah dan pengarah yang hebat, mengapa tidak teruskan saja berlakon?” soal beliau.

JULIANA EVANS
Biarpun sudah menjadi sebahagian keluarga kerabat diraja, Che Puan Juliana Evans masih bergerak aktif dalam industri seni.

Juliana menambah, dunia seni bagaikan sudah sebati dalam jiwa, sementelah dirinya sudah mula berjinak-jinak menjadi model dan pengacara ketika masih kecil lagi.

Biarpun selesa menjalani kehidupan serba sederhana, Juliana masih mengikut protokol untuk waktu-waktu tertentu ketika menemani suami tercinta.

“Mungkin disebabkan saya sudah biasa berdikari sejak kecil, suka cari duit, jadi saya seronok pula bekerja. Cuma suami ingatkan saya jangan terlalu berdikari sangat.

“Bila saya mengadu penat, suami ada cakap juga tak perlu kerja, tetapi pada masa sama, dia tidak menghalang dan bantu mudahkan urusan saya seperti menyediakan pemandu.

“Namun, tatkala bersama suami dan keluarga, saya akan mengikut protokol. Kalau tidak, saya tak kisah dilayan seperti biasa,” jelasnya yang baru muncul dengan telefilem berjudul Demi Raya baru-baru ini.

Tetapan 12 jam & Syawal

Berkenaan soalan layanan, beliau sebenarnya tidak menetapkan layanan khas. Cuma terdapat satu hal yang terpaksa disyaratkan iaitu mempraktikkan peraturan bekerja selama 12 jam kepada penerbit dan produksi.

“Memandangkan saya sudah mempunyai anak, jadi saya tidak mahu sibuk di set sepanjang masa. Buat masa ini pun, memang tiada (layanan istimewa) diberikan kepada saya pun. Saya berterima kasih kepada pihak produksi yang sangat memahami,” katanya.

Iklan
JULIANA EVANS
Keluarga kecil Che Puan Juliana Evans.

Puas bercerita tentang perkembangan seni, penulis menebak dengan persoalan tentang anak tunggalnya yang comel, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine, 3.

Pelakon yang mula meledak menerusi drama Kami itu meluahkan rasa teruja apabila Tengku Kamiliah atau manja dipanggil Mily dipilih sebagai duta produk bagi sebuah jenama antarabangsa.

“Baru-baru ini ada satu jenama pilih kami (termasuk suami Juliana) sebagai wajah kempen Syawal mereka.

“Alhamdulillah Mily beri kerjasama yang cukup baik, tidak banyak ragam dan diam sahaja ketika disiapkan. Boleh dikatakan dia sangat natural,” ujarnya yang tidak kisah seandainya Milly memilih untuk menjadi anak seni pada suatu hari nanti.

Pada pertemuan baru-baru ini juga, kami tidak hanya bercerita soal kerjaya. Sudah semestinya sambutan Syawal menjadi topik perbualan. Mana tidaknya, selepas dua tahun ‘terperuk’ di rumah ekoran penularan virus Covid-19, kini segalanya kembali kepada sedia kala.

Iklan

Ungkap Juliana, tahun ini sememangnya waktu yang sangat dinanti-nantikannya.

Ya, kalau ikutkan hati, beliau tidak sabar untuk pulang ke kampung halamannya di Bagan Datoh, Perak. Namun, kerana kekangan ruang dan masa, Juliana tidak kisah untuk berhari raya bersama keluarga suami terlebih dahulu.

“Suami saya memang suka pulang ke kampung. Sebelum ini dia balik beraya dengan saya sampai demam-demam. Kali ini kami ada rancangan (nak balik lagi) dan lebih istimewa bersama dengan Mily sekali.

“Bila dah ada anak, kena bawa entourage sikitlah. Pun demikian, selepas dua tahun, ramai macam ‘balas dendam’ apabila homestay semua penuh. Mungkin tahun ini tak dapatlah nak beraya di kampung saya, kami sambut Syawal di kampung belah suami,” tuturnya yang sangat merindui suasana Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak.