‘Kau terlalu istimewa,
Kasih dan sayangmu terpancar,
Seikhlas tiada batasan,
Terus membara…’

Lirik lagu Terlalu Istimewa yang dinyanyikan oleh Allahyarham Adibah Noor ini bagai menceritakan juga sisi hidupnya yang disayangi ramai.

Justeru tidak hairanlah apabila berita kematiannya tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp pada Sabtu, bertalu-talu mesej yang masuk bertanya kesahihannya.

Ramai seakan tidak percaya sementelah figura berusia 51 tahun itu tidak pernah berkongsi akan penyakit yang dideritainya.

Setelah beberapa ketika mencari maklumat sahih, akhirnya berita pemergian Adibah Noor Mohamed Omar mula bertebaran di media.

‘Rahsia’ tentang kanser ovari tahap empat yang dihidapi sejak sekian lama juga mula diketahui umum.

Rupanya dalam diam, Adibah sudah menjalani pembedahan pada Ramadan lalu dan diikuti beberapa sesi kimoterapi yang membawa pada penyusutan berat badannya.

Penyanyi Ani Maiyuni mendedahkan dia mengetahui Allahyarham menderita penyakit kanser baru-baru ini, namun merahsiakan perkara itu atas permintaan Adibah.

“Maaf saya terpaksa rahsiakan sebab Kak Dib (Adibah) meminta saya serta beberapa rakan artis yang tahu untuk rahsiakan penyakitnya.

“Sebenarnya arwah start sakit selepas habis GV (Gegar Vaganza musim 8), sejak lepas shooting GV Raya, dia start demam on dan off, serta dimasukkan ke hospital.

“Dek risaukan keadaannya, saya bertanya secara peribadi dan ketika itulah Kak Dib maklumkan mengenai penyakitnya.

“Lama dia berehat dan tidak mahu menerima tetamu. Gambar terbaharu di Instagram itu adalah kerja pertama selepas kak Dib berehat,” ujarnya yang menjadi antara artis terawal mengesahkan kematian Adibah lewat petang, Sabtu.

Namun sehingga ke hujung nafasnya, pelakon, pengacara yang cukup terkenal dengan watak Kak Yam dalam filem Sepet, Gubra dan Mukhsin itu memilih untuk berkongsi senyumannya buat peminat dan rakan seindustri.

Adibah Noor dilahirkan pada 3 September 1970, merupakan anak jati Kuala Lumpur.

Pernah menjadi guru Bahasa Inggeris selama dua tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Adibah memulakan karier dalam dunia seni selepas memenangi pertandingan pencarian bakat Suara 90-an Nescafe pada tahun 1994.

Selain menyanyi, arwah juga aktif sebagai pelakon iklan, sebelum diangkat sebagai pelakon filem oleh Allahyarham Yasmin Ahmad.

Bantu tabungan umrah

Berkongsi satu sisi Allahyarham, rakan yang juga penulis lirik, Opie Sofea mengimbau kenangan 9 tahun lalu ketika Adibah membantu mencukupkan tabungan umrah pertamanya.

Cerita Opie, dia ketika itu sedang merancang untuk menunaikan ibadah umrah dan masih berusaha mengumpul wang.

“Saya mula mengenali kak Dib atas hubungan wartawan dan rakan artis. Kak Dib juga suka membaca nukilan saya di Twitter.

Iklan

“Dari nukilan itu, beliau memberi idea untuk saya hasilkan lirik lagu berdasarkan lagu yang digubah oleh Azlan Abu Hassan.

“Ketika menghasilkan lirik berkenaan, tidak ada perjanjian berapa amaun yang akan diberikan kepada saya. Namun dalam masa sama, kami sering berhubungan bertanya khabar.

“Sebaik mengetahui saya sedang mengumpul wang untuk menunaikan umrah, beliau memasukkan wang yang mencukupkan tabungan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Opie, arwah juga sangat pemurah dan tidak lokek memberi imbuhan sekiranya diberikan tawaran kerja.

“Kalau saya bantu beliau dapatkan persembahan, beliau mesti beri sedikit wang sebagai token dan amaun itu bukan sedikit.

“Kami juga berkongsi minat yang sama terhadap kucing, jadi selalu juga berhubung bertukar cerita. Cuma sejak kebelakangan ini kami jarang berhubungan.

Iklan

“Apa pun, pesanan beliau untuk saya terus menulis, tidak akan dilupakan,” ujarnya.

Ternanti-nanti

Turut sama terkesan dengan pemergian Allahyarham adalah penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Siti, Allahyarham merupakan seorang insan yang sangat disenangi selain tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu.

“Sepanjang mengenalinya, arwah seorang yang sangat disenangi, suka berjenaka, tak lokek ilmu, merendah diri dan penghibur sejati.

“Saya selalu kagum bila dengar arwah bercakap apatah lagi bila menyanyi. Bila dalam satu majlis, saya akan sentiasa ternanti-nanti nyanyian arwah… istimewanya arwah,” tulis Siti menerusi laman Instagramnya.

Adibah Noor menghembuskan nafas terakhir jam 7.40 petang Sabtu di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.