BAGI pelayar setia aplikasi TikTok, wajah doktor gigi kacak ini pastinya tidak asing lagi.

Sudah mempunyai pengikut seramai 4.2 juta, Dr Ben Gee kini meluaskan lagi portfolionya sebagai penyanyi, selain pempengaruh media sosial dengan single sulung dalam bahasa Inggeris berjudul In Your Face.

Lagu hasil ciptaan Dari, Shaz dan Dr Ben Gee sendiri dengan olahan daripada komposer terkemuka, Omar K serta John Jeeves adalah terbitan Rocketfuel Entertainment.

“Seakan bermimpi. Itulah yang dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Siapa sangka daripada seorang doktor gigi, ke influencer dan kini sebagai penyanyi. Saya percaya jika kita berani mencuba dan mengambil risiko, pasti akan nampak hasilnya,” luah Dr Ben Gee.

Berkongsi mengenai muzik, Dr Ben Gee, 29, sememangnya gemar berada di pentas sejak kecil lagi dan ketika berusia lapan tahun, dia dimasukkan ke dalam pasukan koir opera oleh ibu bapanya serta membuat persembahan di seluruh Malaysia.

“Ketika di kolej, saya pernah menyertai kelas teater dan beraksi dalam beberapa pementasan muzikal.

“Sewaktu di universiti saya mula terdedah dengan dunia sosial media dan bermulalah segala-galanya sehingga saya dilamar oleh pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment,” jelasnya.

In Your Face diilhamkan dari kisah hidup Ben Gee sendiri.

Dalam pada itu, ditanya idea pembikinan In Your Face, Dr Ben Gee berkata, ia adalah ideanya sendiri.

“Sejak kecil saya cuba untuk fit in apabila dibuli tetapi setelah menginjak dewasa, saya rasa kita tidak sepatutnya melalui perkara itu dan terus berdiam diri.

“Kita perlu berani dan katakan I’m in your face kepada mereka yang pernah menyelar keberadaan dan keunikan kita sebagai manusia.

Iklan

“Saya mahu empower generasi muda melalui lagu dengan menegaskan betapa pentingnya menerima diri sendiri atau self acceptance dan sayangi diri. Jangan peduli kalau ada ramai haters kerana kita perlu berani menjadi diri kita yang sebenar,” ujarnya.

Sesuai dengan jiwa

Lagu pop rancak moden dalam nuansa elektro (EDM) dibikin sebegitu rupa sesuai dengan jiwa Dr Ben Gee yang gemarkan lagu-lagu berunsur tarian yang boleh dinikmati oleh semua lapisan umur, jantina mahupun kerjaya.

Tambah Dr Ben Gee lagi, peluang yang ada mahu digunakan sebaik mungkin.

Iklan

“Saya seorang yang kuat bekerja dan sentiasa sibuk. Kita muda hanya sekali, jadi gunakan peluang dengan sebaiknya agar tidak menyesal di kemudian hari.

“Saya berharap lagu ini dapat membuka mata semua orang tentang kemampuan saya dan semoga dapat diterima semua orang, sekali gus menjadi lagu pembakar semangat,” katanya menutup perbualan.

Lagu In Your Face boleh dimuat turun di iTunes dan didengari melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Sementara muzik boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.