Demi Karmila, Scha Alyahya sertai dua kelas lakonan   

A
A
A

DEMI memberi yang terbaik terhadap wataknya sebagai Pegawai Penyiasat Karmila dalam filem Telaga Suriram, pelakon, pengacara dan model, Scha Alyahya sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk mengupah Dr Norzizi Zulkifli sebagai guru lakonan.

Jelas Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 38, selain Norzizi, pihak produksi turut melantik Ellie Suriati sebagai jurulatih lakonan bagi filem arahan Osman Ali itu.

“Abang Osman sudah beberapa kali menawarkan saya berlakon di bawah arahannya. Tetapi sebelum ini saya anggap belum ada rezeki kerana jadual sering kali bertindih.

“Namun baru-baru ini apabila abang Osman hubungi saya untuk menawarkan watak ini dan ceritakan mengenai filem serta barisan pelakonnya, saya  jadi sukar untuk menolak.

“Bagi saya watak ini sangat berat dan berbeza dengan watak yang pernah saya bawakan. Oleh sebab itu saya ambil personal class bersama Kak Zizi.

“Sebelum masuk set hujung bulan ini, semua pelakon akan ada kelas juga bersama kak Ellie,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram di The Majapahit, Mont Kiara, pada Selasa.

Barisan pelakon Telaga Suriram bersama pengarah, Osman Ali (tengah).

Ditanya mengapa memilih Norzizi selaku guru lakonannya biarpun sudah disediakan guru lakonan oleh pihak produksi, Scha berkata, dia berharap lebih bersedia dan dapat memberikan yang terbaik.

“Menerusi penjelasan daripada abang Osman, watak Karmila ini sangat berat. Dia adalah seorang pegawai penyiasat dari bandar yang memasuki kampung untuk merungkai misteri kehilangan yang sering berlaku di kampung itu.

“Dalam masa yang sama, penduduk di sana sangat percayakan unsur mistik. Jadi penyiasatan ini adalah antara realiti dan mistik.

“Bagi memastikan saya lebih bersedia, saya pilih kak Zizi kerana pertama latar belakangnya. Kedua, saya rasa dia dekat dengan saya dan kami mempunyai karakter yang sama.

“Saya rasa lebih senang untuk belajar tanpa rasa takut. Sejujurnya walaupun belum masa kelas kak Ellie, saya sudah ada rasa takut itu,” jelasnya.

Biarpun berlakon di samping pemenang anugerah seperti Maya Karin, Farid Kamil dan Nabila Huda, isteri kepada Awal Ashaari ini tidak meletakkan sasaran untuk memenangi apa-apa anugerah.

“Betul kita perlu letak target apabila melakukan sesuatu. Tetapi untuk meletakkan target menang anugerah, ia akan jadi berat untuk saya.

“Harapan saya adalah untuk buat yang terbaik supaya saya tidak memburukkan filem itu nanti apabila berlakon di samping mereka,” ujarnya.

Telaga Suriram akan memulakan penggambaran penghujung Januari ini selama 35 hari melibatkan lokasi di Perlis, Kedah dan Perak.

Pengorbanan awal tahun

Dalam pada itu, ditanya persediaan untuk meninggalkan suami dan anak-anak bagi satu tempoh masa yang panjang, ibu kepada Lara Alana, 7, dan Lyla Amina, 10 bulan itu mengakui berasa berdebar.

Scha mengakui berdebar untuk meninggalkan suami dan anak-anak untuk suatu tempoh yang panjang. (Foto Instagram Scha AlYahya)

Katanya setakat ini, Lara memahami tugasnya, namun pelakon yang mula dikenali menerusi Awan Dania itu tidak pasti reaksi Lyla kelak.

"Saya tidak ada masalah dengan Awal kerana dia boleh kendalikan semuanya dengan baik, walaupun dia gemuruh untuk uruskan hal-hal persekolahan Lara.

"Cuma saya risaukan Lyla nanti bila lama berpisah. Dia anak yang mudah dijaga, harap nanti dia tak meragam.

"Saya kira ini pengorbanan yang perlu saya buat dan saya berterima kasih kepada Awal kerana memahami saya," katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca