JIKA disebut satu persatu lagu ciptaan dan Amylea Azizan, semua pastinya akan jatuh cinta. Tidak hanya melodi yang enak didengar, lirik yang dihasilkan cukup menyentuh jiwa.

Maka tidak hairanlah apabila kebanyakan lagu bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu menjadi lagu tema drama popular tanah air.

Terbaharu, wanita berusia 36 tahun ini muncul dengan single Melepaskanmu, ciptaan penuh oleh Amylea dan bakal menjadi runut bunyi drama Khilaf Asmara yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ramadan ini.

Menerusi lagu ini, Amylea sekali lagi bekerjasama dengan syarikat produksi Radius One yang juga penerbit bagi drama itu.

“Bagi drama Khilaf Asmara kita ada dua lagu baharu. Lagu pertama adalah Melepaskanmu yang dinyanyikan oleh saya dan satu lagi lagu tajuknya Khilaf Asmara yang dinyanyikan oleh Shila Amzah.

“Saya selesa bekerjasama dengan Radius One kerana sebelum kita membuat rakaman, semuanya sudah dibincangkan secara terperinci dan secara tidak langsung membuatkan saya rasa sangat dihargai,” ujarnya.

Berkongsi mengenai single itu, Amylea berkata lagu Melepaskanmu sepatutnya dilancarkan lebih awal pada Mac tahun lalu, namun tertangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerana Covid-19.

“Penulisan dan rakaman telah dibuat pada tahun lepas dan semuanya sudah ‘backdated’. Jadi lagu ini saya boleh katakan sebagai flashback atau throwback perasaan saya tahun lepas.

“Cerita berkenaan lagu ini sebenarnya sangat menarik kerana mengangkat tema kekuatan selepas ditinggalkan dan kekuatan untuk melepaskan seseorang itu.

“Melepaskanmu ini menjurus kepada rasa reda. Saya tahu ramai orang akan cakap ini adalah daripada kisah sebenar saya. Kadang-kadang cerita daripada kita ini lebih kurang sama, cuma perinciannya sahaja yang berbeza.

“Jadi cerita dalam drama ini juga adalah refleksi daripada cerita yang terjadi dalam kalangan masyarakat yang mana skripnya diolah sebegitu.

Iklan

“Kalau sedikit sebanyak cerita ini ada yang menyentuh peribadi seseorang termasuk diri saya sendiri itu, maka itu adalah hanya kebetulan semata-mata,” jelas Amylea.

AMYLEA
Amylea merancang untuk berehat seketika sebelum tampil dengan lagu genre berbeza selepas ini.

Berehat seketika

Dalam masa sama, Amylea berkata single ini menjadi karya terakhir sebelum dia berehat seketika dari menghasilkan lagu berentak balada.

“Ikutkan tahun ini saya sudah sediakan single dengan mood dan vibe yang berbeza. Tetapi banyak sangat dugaan tahun lalu dan saya harap Melepaskanmu sedikit sebanyak mengubat rindu peminat yang menantikan lagu baharu dari saya.

“Mungkin selepas ini saya akan berehat sekejap dengan genre balada. Sudah lama saya berharap dapat tampil dengan lagu genre berbeza dan ada juga peminat yang bertanya perkara sama. Saya kira tahun ini adalah masa yang sesuai,” katanya kali terakhir tampil dengan single Kendati.

Iklan

Mengulas mengenai perancangannya untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain, Amylea ada aturan tersendiri.

“Perancangan itu memang ada tetapi tidak tahu bila dan untuk lagu mana. Cuma saya segan nak beritahu dulu sebab tak pasti sama ada jadi atau tidak.

“Setakat ini, saya bakal bekerjasama dengan Kumpulan Masdo tetapi masih terlalu awal untuk promosikannya,” ujarnya yang memberi bayangan akan tampil dengan sebuah filem tidak lama lagi.