Bukan sekadar larian, 1,000 anak yatim bawa pulang kenangan
AKTIVITI larian di tengah-tengah Kuala Lumpur mungkin sekadar program hujung minggu. Namun, buat 1,000 anak-anak yatim yang menyertai Larian Langkah Kasih 2026, pengalaman itu membawa makna yang jauh lebih istimewa.
Berlangsung di Dataran DBKL bersempena Kuala Lumpur Car Free Day, acara berkenaan memberi peluang kepada anak-anak dari 28 rumah anak yatim seluruh negara untuk menikmati suasana ibu kota dengan cara yang berbeza.

Jalan-jalan utama yang selama ini mungkin hanya dilihat melalui gambar atau ketika dalam perjalanan, kali ini menjadi laluan yang mereka jejaki sendiri.
Lebih menceriakan, mereka bukan sahaja berlari, malah berpeluang bergambar, berinteraksi dan beriadah bersama masyarakat, peserta, penaja, sukarelawan serta wakil syarikat korporat yang hadir memberikan sokongan.

Kenangan itu turut dibawa pulang menerusi foto-foto yang boleh dikongsi bersama rakan-rakan di asrama.
Kuala Lumpur Car Free Day yang berlangsung setiap Ahad sememangnya membuka ruang kepada warga kota untuk beriadah, menikmati suasana ibu kota dan mengamalkan gaya hidup sihat. Pada kesempatan itu, PEYATIM Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas keizinan, kerjasama dan sokongan menjayakan program berkenaan.
Sesi pelepasan pada jam 7 pagi disempurnakan Presiden PEYATIM Malaysia, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor bersama Pengerusi Program Langkah Kasih, Datuk Haji Mohamad Mahmood.
Turut hadir wakil penaja daripada ZICO Trust, Tan Sri Datuk Seri (Dr) Mazlan Lazim dan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, selain barisan kepimpinan PEYATIM, wakil ahli gabungan serta petugas program.

Tidak berhenti setakat larian, anak-anak yatim turut menerima makanan dan minuman hasil sumbangan penaja serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM10,000.
Kehadiran sekitar 6,000 orang yang terdiri daripada peserta, keluarga, penaja, rakan strategik, sukarelawan dan orang awam menjadikan Dataran DBKL lebih meriah pada pagi tersebut.
Namun, di sebalik angka penyertaan itu, perkara yang lebih utama ialah peluang untuk anak-anak yatim merasai sendiri suasana kebersamaan dan perhatian daripada masyarakat.

Program berkenaan turut menjadi ruang untuk meningkatkan kesedaran mengenai kebajikan anak-anak yatim, di samping menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian.
Dalam masa sama, PEYATIM merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang menyumbangkan masa, tenaga dan komitmen bagi memastikan perjalanan Larian Langkah Kasih 2026 berjalan lancar.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

