BERMULA 1 Mac lalu, Astro Ria dengan kerjasama Nu Ideaktiv Sdn Bhd membawakan sebuah program bual bicara khusus tentang alam perkahwinan menerusi program Borak Kelamin.

Program tersebut mengetengahkan isu-isu berkaitan rumah tangga yang sering dianggap tabu atau sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.

Bagi musim yang pertama kali diterbitkan ini, selebriti popular Awal Ashari dan Elly Mazlein diberi kepercayaan untuk mengendalikan program Borak Kelamin selaku hos bersama sepanjang 10 buah episod, setiap hari Isnin, jam 9 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Tampil dengan pengisian interaktif yang berani dan sensasi, program Borak Kelamin bakal mengetengahkan topik-topik diskusi merangkumi kupasan ilmiah yang kompresensif oleh barisan panel pakar perunding jemputan daripada pelbagai bidang pengkhususan berdasarkan tema mingguan seperti pakar motivasi, perunding psikologi, kaunselor perkahwinan, penceramah, dan sebagainya.

Antara kelainan yang dibawa dalam program Borak Kelamin.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, hal berkaitan ‘cerita dalam kain’ dalam sesebuah institusi perkahwinan adalah subjek tabu yang kurang dibicarakan secara terbuka terutamanya di kaca televisyen. Topik sebegini juga sering dielakkan untuk menjaga aib dan sensitiviti masyarakat.

“Jika kita lihat sejak kebelakangan ini, semakin ramai pasangan suami isteri yang mungkin sedang mengalami konflik dalaman gemar mengadu domba di media sosial.

“Sekiranya perkongsian tersebut dilihat daripada perspektif positif, mungkin respons yang diterima daripada netizen dapat membantu meredakan tekanan.  Jika sebaliknya, ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan tanpa sebarang jalan penyelesaian.

“Sehubungan dengan itu, kami dengan berbesar hati membawakan program ‘Borak Kelamin’ sebagai platform utama dalam menyalurkan maklumat yang berkaitan dengan lebih luas menerusi sesi perbincangan yang sihat, harmoni dan positif bersama panel jemputan.

Iklan

“Walaupun topik yang bakal diketengahkan agak panas dan boleh mengundang kontroversi, namun ia tidaklah keterlaluan dan masih sesuai dengan resam masyarakat Malaysia. Kami percaya tahap penerimaan penonton masa kini sudah semakin matang dan tahu menilai mesej di sebalik keseluruhan konteks kandungan yang ingin disampaikan.

“Semoga perkongsian ilmu menerusi program ‘Borak Kelamin’ dapat dijadikan rujukan serta boleh dimanfaatkan bersama baik oleh pasangan yang sudah berkahwin mahupun yang sedang dalam persediaan menuju ke alam rumah tangga,” ujarnya.

Iklan

Bagi merancakkan lagi sesi perbincangan pada setiap episod, tetamu jemputan istimewa yang terdiri daripada barisan selebriti popular tanah air turut diundang khas untuk berkongsi pengalaman peribadi sepanjang melayari bahtera perkahwinan bersama pasangan atau bekas pasangan secara terbuka dan profesional.

Norman Hakim dan Memey Suhaiza turut dipanggil untuk berkongsi cerita dalam program berkenaan.

Antara selebriti yang dipilih adalah Azad Jazmin & Eira Syazira, Norman Hakim & Memey Suhaiza,  Lana Nodin & Daud Mckienzie, Sharifah Syahira & Ijoy, Fizo Omar, Ramona Zamzam, Ifa Raziah, Ain Edruce, Edika Yusof dan Datuk Ziela Jalil.